BATU PAHAT: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas motosikal dinaiki pasangan itu dirempuh lori dalam kejadian di Jalan Kampung Sri Bahrom, Rengit dekat sini lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian pada kira-kira pukul 5 petang itu melibatkan Ahmad Apandi Ab. Gani, 71, dan isterinya Sarina Halid, 50, yang menaiki motosikal dan sebuah lori dipandu lelaki berusia 46 tahun.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas penunggang motosikal (Ahmad Apandi) memotong lori di hadapannya dalam perjalanan arah yang sama dari Kampung Sri Bahrom ke Rengit.
“Selepas memotong lori berkenaan, penunggang motosikal berkenaan secara tiba-tiba memberhentikan kenderaan dinaiki kerana dipercayai mahu masuk ke simpang sebelah kanan.
“Akibat daripada itu, pemandu lori tidak sempat memberhentikan kenderaan sebelum menyondol motosikal di hadapannya sehingga menyebabkannya terbabas ke kanan jalan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Ismail lagi, akibat daripada itu, isteri Ahmad Apandi, Sarina terperosok ke bawah lori menyebabkannya mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal dan pemandu lori hanya cedera ringan.
“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori tidak dipengaruhi sebarang kesan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN