Imej hijau bongkar dadah 5.95 kg disorok dalam bagasi

Imej hijau bongkar dadah 5.95 kg disorok dalam bagasi

SAZALI Mohamad menunjukkan dadah yang disorok dalam bagasi yang diubahsuai di Kompleks Kastam Kargo, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tindakan seorang lelaki tempatan cuba menuntut bagasinya dari kaunter ‘Lost & Found’ membongkar usaha penyeludupan dadah yang cuba dihantar suspek ke Taiwan.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM), Datuk Sazali Mohamad mendedahkan, suspek berusia 21 tahun ini datang untuk mengambil bagasi setelah membatalkan penerbangannya lima hari sebelum itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata, ketika bagasi suspek diimbas oleh pegawai Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 JKDM KLIA, mereka mengesan objek dengan imej kehijauan.

“Curiga terhadap kandungan beg itu, semakan teliti menemukan dadah dalam kotak permainan serta enam kotak makanan dengan nilai keseluruhannya hampir RM500,000.

“Suspek didapati tiada pekerjaan tetap dan menetap di Lembah Klang itu kemudian segera ditahan pegawai JKDM pada pukul 11.20 malam 27 September lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rampasan tersebut tegas beliau, meliputi antaranya 14 bar yang mengandungi mampatan serbuk putih jenis heroin dengan berat anggaran 4.95 kilogram (kg) bernilai RM438,000.

Turut dijumpai ialah lima peket ketulan kristal narkotik jenis ketamin dengan dianggarkan satu kilogram bernilai RM60,000 dan berat kedua-dua dadah itu ialah 5.95 kg.

“Siasatan awal mendapati dua jenis dadah tersebut diterima penumpang ini dari satu sindiket dipercayai bergiat aktif di Lembah Klang untuk dijual di luar negara,” katanya.

Berdasarkan berat dadah yang dirampas itu, Sazali menganggarkan pihak JKDM berjaya membanteras pengedaran dadah haram tersebut kepada lebih 30,000 orang penagih.

Tangkapan kali ini katanya, membongkar modus operandi sindiket yang cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah dalam kotak permainan dan makanan.

Kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan.

Beliau pada masa sama, menggesa masyarakat supaya dapat membantu JKDM dalam penyaluran maklumat kes penyeludupan yang mendatangkan ancaman kepada negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN