BENTONG: “Kalau Tan Sri Muhyiddin tidak suka saya, dia pecat saya sebagai Setiausaha Agung tapi adakah itu berlaku?”
Demikian kenyataan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika ditanya berhubung dakwaan wujud dua kem antara beliau dengan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dikatakan tegang.
Hamzah berkata, semua cerita berkenaan hubungan beliau dan Muhyiddin hanya direka oleh orang luar yang mahu mewujudkan perpecahan dalam Bersatu termasuk Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Larut itu kemudian menepis khabar angin bahawa beliau tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan menjelaskan hubungan semasa mereka amat baik.
“Saya Setiausaha Agung, Tan Sri adalah Presiden, dia lantik saya sebagai setiausaha parti. Kalau tidak suka dia, saya berhenti. Kalau dia tidak suka saya, dia pecat saya, adakah itu berlaku?” Soalnya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Simpang Pelangai, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pemilihan kepimpinan Bersatu dijangka tegang dan sengit kerana wujud dua kem antara Muhyiddin dan Hamzah apabila kedua-duanya didakwa tidak sehaluan dalam menentukan hala tuju parti.
Laporan itu mendakwa Muhyiddin mahu mempertahankan jawatan Presiden ekoran pengaruh politik semakin suram manakala Hamzah pula disebut-sebut mencabar jawatan itu dalam pemilihan parti.
Sebaliknya Bersatu tidak akan mengadakan pemilihan pada tahun ini susulan keputusan parti menangguhkan sehingga 18 bulan pada Mei lalu dan antara sebabnya bagi memberi laluan kepada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos lalu.
Hamzah menyifatkan cerita itu tidak logik memandangkan pemilihan Bersatu tidak berlangsung pada masa terdekat selepas ditangguhkan selama 18 bulan.
“Ini mesti orang luar nak buat cerita bukan-bukan, tiada pun cerita tentang ini, ini sebab cerita pemilihan 18 bulan lagi, apa hal nak cerita perpecahan? Orang lain buat cerita dan kami baik sahaja, buat kerja dan semua berkempen pilihan raya,” katanya. – UTUSAN