Heliza Helmi nyaris terbunuh di Gaza - Utusan Malaysia

Heliza Helmi nyaris terbunuh di Gaza

SERING bergandingan dengan adik, Hazwani Helmi dalam misi kemanusiaan. -UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

“PADA 2012, ada dua kereta kebal milik rejim Zionis menghala ke arah kami. Masa itu, rakyat Palestin sudah menjerit suruh kami cepat-cepat lari dan bersembunyi di dalam khemah.

“Memang panik dan terbayang macam-macam musibah sebab jarak kami hanya beberapa ratus meter sahaja.

“Kereta kebal itu kelihatan seperti hendak melepaskan tembakan, tetapi hanya keluar asap. Akhirnya mereka berundur,” kongsi aktivis kemanusiaan,Datin Seri Nur Heliza Helmi, 37, mengimbau kenangan 11 tahun lalu, saat pertama kali menyertai misi kemanusiaan di Gaza.

Detik cemas dilalui itu kekal dalam ingatannya. Besarnya kuasa Yang Maha Esa lantaran insiden antara hidup dan mati itu, tidak pernah melunturkan setia semangatnya menyertai misi kemanusiaan di wilayah bergolak itu.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini sudah tiga kali mengunjungi Semenanjung Gaza dan untuk setiap kali kunjungan, jiwanya tetap sarat dengan semangat.

“Selepas 2012, saya kembali ke Gaza pada 2013 dan 2019. Tipulah kalau tidak terlintas rasa takut dalam setiap misi kemanusiaan. Rasa itu mesti ada.

“Tetapi semangat dan keterujaan itu melebihi rasa gentar. Bila kehadiran kami disambut dengan tangan terbuka oleh rakyat Palestin, segala gundah itu terbang dibawa angin,” katanya.

Bicaranya, setiap kali menyertai misi, beliau akan tajdid niat dengan betulkan niat kerana Allah, lantaran pemergian ke bumi barakah itu, sama ada sebagai ‘tiket sehala atau dua hala’.

“Andai umur tidak panjang atau berisiko mati syahid sewaktu menjalankan misi bantuan, saya mesti sentiasa memasakkan keimanan.

“Lebih daripada itu, kita semua akan mati dan tidak tahu bagaimana takdir yang tertulis. Saya hanya mampu berdoa, mengharapkan Allah bagi kehidupan dan kematian diredai. Sekalipun, nyawa diambil ketika itu, biarlah dalam keadaan khusnul khatimah,” katanya.

Heliza terbabit dalam tugasan membantu insan memerlukan dan aktiviti kesukarelawan sejak di bangku sekolah lagi. Minat itu diteruskan semasa zaman belajar di universiti.

“Misi kemanusiaan di Kemboja pengalaman sulung saya sertai.

“Alhamdulillah, Allah lorongkan saya dengan kerja kemanusiaan sehingga sekarang sebab saya mahu memberi manfaat kepada manusia lain,” katanya.

Kesungguhan ditunjukkan melayakkan dirinya dilantik sebagai duta dan aktivis kemanusiaan bagi lima badan bukan kerajaan (NGO), antaranya Aman Palestin dan Muslim Care Malaysia sejak 2010.

Terkini, beliau bergiat aktif dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang lantang memperjuangkan nasib penduduk Islam di Gaza.

Heliza pernah dipilih menjadi ikon Muslim Volunteer Malaysia (MVM) kerana usahanya memperjuangkan nasib umat Islam tertindas.

Pada 2011, beliau mendapat pengiktirafan sebagai Professional Learning Facilitator dan Certified Professional Image Consultant (CPIC) oleh Akademi Perunding Imej serta dilantik sebagai Influencer Aafiyat Group, pada 2021.

SEMANGAT ANAK PALESTIN

Kecintaan wanita kecil molek ini dengan kerja kemanusiaan itu jelas. Sinar matanya bagaikan bercahaya bila dibawa berbicara mengenai isu itu.

Penyanyi yang namanya mulai dikenali sejak zaman Akademi Fantasia Musim ke-5 pada 2007 kian matang melontarkan buah fikirannya.

Baginya, melihat bukti nyata di depan mata kekuatan anak-anak Palestin mengharungi kehidupan harian yang jauh berbeza dengan kanak-kanak di negara lain, merubah perspektifnya terhadap kehidupan.

“Ada tiga peristiwa yang dilalui semasa kali pertama ke Gaza pada 2012. Ada kelompok kanak-kanak sedang bermain dan saya datang mendekati mereka. Saya kasihankan mereka sebab melihat diuji dengan kehilangan ayah dan ibu sekelip mata.

“Namun, jawab mereka jangan kasihankan kami sebab Allah uji, supaya kami sentiasa beringat hari Akhirat itu benar. Sebaliknya, yang perlu dirisaukan adalah mereka yang diberikan segala nikmat kemewahan tetapi sampai lupa mempersiapkan diri bertemu Allah,” kongsinya.

 

Kisah kedua, kata Heliza, masih segar dalam ingatannya ketika membawa coklat yang banyak untuk diagihkan kepada kanak-kanak di rumah anak yatim.

“Saya bagi coklat satu persatu kepada mereka. Lepas itu saya hendak bagi lagi sebab coklat masih banyak. Namun, mereka tak mahu dan cakap sudah mencukupi.

“Baru saya tahu punca mereka enggan sebab memikirkan kawan-kawan mereka yang tidak dapat datang ke sini kerana cedera parah terkena serpihan bom. Mereka minta saya simpankan coklat untuk kawan-kawan yang lain,” katanya.

Kisah ketiga membuatkan Heliza benar-benar mengagumi semangat kental kanak-kanak Palestin dalam menuntut ilmu walaupun banyak bangunan termasuk sekolah yang hancur dibedil bom rejim zionis.

“Baru lepas perang, tetapi mereka sudah pakai beg sekolah. Mereka cakap pergi sekolah bukan semata-mata nak dapat A atau nombor satu, tetapi hendak jadi manusia yang bermanfaat walaupun fasiliti serba kekurangan. Sebab itu, mereka perlu belajar dan mempunyai ilmu pengetahuan,” kongsinya.

PENCINTA HAIWAN

Di sebalik kesibukan menjalani rutin harian sebagai penyanyi, pengacara, aktivis kemanusiaan serta pendakwah selebriti, Heliza sebenarnya pencinta haiwan.

Beliau rajin membantu kucing-kucing terdampar sakit dan yang memerlukan penjagaan rapi.

“Buat sebab minat. Ia tercetus masa tunai umrah dan melihat kucing-kucing kurus di Mekah dan Madinah. Masa itu saya siap bawa beg letak makanan kucing.

“Jiwa saya terasa dekat dengan kucing. Kami selamatkan kucing, hantar veterinar, lepas sihat tawarkan jadi kucing angkat. Semuanya buat sendiri sebab belum ada pasukan khas lagi,” katanya yang turut membela empat ekor kucing di rumah.

Bagi memastikan idea murninya tidak terhenti di pertengahan jalan, beliau kini dalam perancangan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menubuhkan rumah perlindungan kucing.

SUAMI BAGI GALAKAN

Suri hati ahli perniagaan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman, ini mengakui bersyukur kerana suami tidak pernah menghalang minatnya menjadi aktivis kemanusiaan dan meneruskan karier seninya sama ada sebagai penyanyi, pelakon atau pengacara.

Walaupun jadual harian pasangan ini padat, tetapi mereka berdua tetap mencari masa berkualiti untuk bertemu.

“Alhamdulillah, Allah susun sangat cantik. Kadang-kadang kami bertemu di mana-mana program atau saya sendiri hadir ke program yang disertai suami.

“Cuma tak sempat hendak kongsi momen bahagia di Instagram. Kita mohon Allah bagi kebahagiaan di dunia dan akhirat serta hubungan sebagai suami dan isteri berkekalan sampai syurga.

“Nak pampang atau tak (media sosial), cerita lain. Paling penting memang kami sentiasa bahagia dan berharap Allah kekalkan kebahagiaan serta reda dengan hubungan ini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya