Guru agama, pendakwah Singapura dilatih kuasai ilmu moden - Utusan Malaysia

Guru agama, pendakwah Singapura dilatih kuasai ilmu moden

DR. NAZIRUDIN Mohd. Nasir semasa membentangkan Kertas Kerja Utama pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Singapura melalui pejabat mufti negara tersebut melaksanakan inisiatif Makmal Fatwa bagi memastikan golongan agamawan khususnya guru agama menguasai ilmu dan pemikiran moden supaya kekal relevan.

Mufti Singapura, Dr. Nazirudin Mohd. Nasir berkata, langkah demikian adalah usaha supaya golongan itu mencari huraian serta memikirkan pendekatan baharu terhadap isu-isu masa depan terutama dalam konteks Singapura sebagai negara sekular.

“Mereka sekarang ini sedang giat membahaskan isu berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Mereka sedang memikirkan konsep dan cara perwakafan baru mengikut aset dan jenis harta yang wujud di Singapura, teknologi baharu dalam bidang perubatan yang boleh mengenalpasti risiko penyakit kronik atau serius melalui penyaringan genetik, serta hukum jenis-jenis makanan baharu seperti daging yang dihasilkan di makmal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan Kertas Kerja Utama Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Pihaknya berusaha membangunkan ketamadunan ilmu agama yang sesuai dengan peralihan zaman, khusus dalam memupuk semangat kalangan golongan agamawan muda untuk belajar serta membuat kajian.

“Jika kepimpinan agama tidak memikirkan dan membahaskan isu-isu baru dan mendatang atau tidak menjadikannya satu keutamaan pada hari ini. Maka kita mungkin tidak lagi relevan bagi masyarakat,” katanya.

Katanya, kepimpinan agama harus menjadi contoh dan teladan bagi masyarakat dari segi etika dan profesional yang tinggi.

“Mereka harus memiliki nilai-nilai Islam yang mulia dalam membina keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan mereka sendiri dan memahami kehidupan Singapura yang bersifat sekular, masyarakat majmuk berbilang bangsa, bahasa, agama dan budaya,” katanya.

Katanya lagi, lebih daripada 5,000 orang telah berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) yang mana mereka diwajibkan mematuhi kod etika yang ditetapkan oleh Lembaga Pengiktirafan di Singapura.

Jelas Nazirudin, prinsip dan nilai-nilai Islam serta manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah, khususnya dalam menangani perbezaan pandangan menjadi teras utama dalam membentuk kod etika tersebut.

“Seringkali kita mendapati golongan agamawan yang memberi pandangan mahupun hukum berkaitan sesuatu perkara yang menunjukkan mereka masih belum lagi memahami isu tersebut dengan baik.

“Berbekalkan kemahiran dan keupayaan baru serta sikap profesional, golongan agamawan mampu memimpin dan membimbing masyarakat Muslim untuk hidup dengan penuh yakin sebagai orang Islam yang sempurna dalam konteks negara kosmopolitan Singapura,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya