PETALING JAYA: Dua wakil rakyat DAP yang melanggar prinsip parti memberitahu telah menjelaskan kerumitan situasi dan tekanan mewajibkan mereka menerima anugerah darjah kebesaran ‘Datuk’ daripada Yang Dipertua Negeri Sabah dan kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe dalam satu kenyataan bersama bagaimanapun berkata, kerumitan dan tekanan itu tidak sepatutnya menjadi alasan menggugat prinsip dan dasar parti.
Oleh itu kedua-dua mereka menerima teguran parti dan memohon maaf kerana melanggar dasar parti yang melarang pemimpinnya menerima sebarang gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Foong Hin merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan manakala Jin Zhe (Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah).
“Sebagai rakyat Sabah, kami amat menghargai pengiktirafan Yang Dipertua Negeri terhadap khidmat bakti DAP kepada rakyat dan masyarakat.
“Dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara tercinta sebagai wakil rakyat kekal teguh. Kami ingin meyakinkan semua orang komitmen kami untuk menegakkan prinsip dan nilai parti juga tidak berbelah bahagi.
“Walaupun sebelum ini kami telah menjelaskan kerumitan keadaan, menekankan kewajiban kami untuk menghormati muhibah daripada Yang Dipertua Negeri Sabah dan kerajaan negeri, kami faham ini tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menggugat prinsip dan dasar parti.
“Oleh yang demikian, kami ingin memohon maaf yang setulus-tulusnya kepada kepimpinan dan ahli parti,” kata kenyataan itu semalam.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini mengeluarkan teguran keras kepada kedua-dua pemimpin itu kerana menerima anugerah gelaran Datuk dan memutuskan tindakan mereka melanggar dasar parti.
Phoong Hin dan Jin Zhe antara 88 individu yang dianugerahkan anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu, yang membawa gelaran Datuk, dalam majlis istiadat pertabalan yang diadakan di Istana Seri Kinabalu pada 7 Oktober lalu. – UTUSAN