PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Wilayah Persekutuan menuntut Kerajaan Malaysia mendesak badan-badan serantau dan antarabangsa mengutuk dan mengecam serta tidak takut mengambil tindakan terhadap Israel.
Dalam satu kenyataan bersama, desakan terhadap badan seperti ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu perlu kerana rejim zionis yang terus menerus melanggar hak asasi manusia seperti yang digariskan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Menurut kenyataan itu, Pemuda Amanah di peringkat akar umbi membantah dan mengutuk provokasi terbaharu zionis Israel ke atas Palestin dan mendukung perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak mereka.
“Tindakan diambil pihak Hamas bukanlah provokasi agresif, namun, ia merupakan tindak balas tuntas ke atas siri keganasan Israel. Siri kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin umum diketahui komuniti global dan semakin melampau kebelakangan ini, ia sengaja
dilakukan bagi mewujudkan ketegangan dan mencetuskan peperangan sebagai sebahagian taktik politik kotor kerajaan rejim zionis.
“Jumlah jiwa yang terkorban tidak sedikit, justeru, tindak balas penentangan daripada rakyat Palestin ke atas kekejaman Israel adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan menjadi hak mutlak mereka mempertahankan diri dan kedaulatan tanah air mereka,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar; Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli dan Ketua Pemuda Amanah Batu, Muhammad Faris Arriffin.
Selain itu, Ketua Pemuda Amanah Kepong, Muhamad Iqbal Suyanto, Ketua Pemuda Amanah Cheras, Raja Mohamad Haziq Raja Mohamad Kamal; Ketua Pemuda Amanah Bandar Tun Razak, Ahmad Mujahid Hayatul Kamil dan Ketua Pemuda Amanah Wangsa Maju, Shamz Johan.
Mengulas lanjut, Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan menyokong dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan kesatuan bersama rakyat Palestin dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan dan keamanan serta menoktahkan konflik yang berpanjangan.
“Kami juga mendukung segala usaha perdamaian yang diusahakan oleh masyarakat antarabangsa selagi mana ia berlandaskan penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi rakyat Palestin.
“Selain itu, sokongan dalam bentuk sumbangan kemanusiaan melalui badan-badan rasmi dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga perlu segera digerakkan untuk membantu rakyat Palestin yang tersepit dan menjadi mangsa kebinasaan lingkungan dalam episod terbaru konflik Palestin dan rejim zionis ini,” katanya.
Sehingga kini, hampir 700 orang angka korban di Semenanjung Gaza dilaporkan manakala 3,727 lagi cedera sejak Israel melancarkan gelombang serangan udara selepas serangan mengejut pejuang Hamas yang dilancarkan ke atas Israel. -UTUSAN










