BERCERITA mengenai era muzik retro 60- an, pasti ramai yang terbayang pakaiannya, kaca mata hitam, motor vespa serta muzik pop yeh yeh yang sehingga kini tidak ditelan zaman malah kekal evergreen dan diminati ramai di setiap peringkat usia.
Bagi mengimbau semula kenangan dan nostalgia tersebut, Warisan Sound bakal menganjurkan Festival dan Konsert 60-an di Warisan Hall Studio, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor pada 7 dan 8 Oktober ini bermula jam 11 pagi sehingga 12 malam.
Menurut Pengarah Urusan Warisan Sound, Mohd Khair Ghazali, Festival dan Konsert 60-an @Warisan Hall merupakan acara yang berlatarkan lagu-lagu 60an serta klasik dengan menampilkan penyanyi-penyanyi baharu dan lama yang sehingga kini masih terus memperjuangkan irama tersebut.
“Warisan Sound yakin dan percaya bahawa gandingan dan penampilan artis-artis yang dipilih adalah platform terbaik dan unik bagi memberi inspirasi kepada barisan artis baharu yang berminat untuk menjadi pelapis bagi genre muzik dan irama 60an ini,” katanya di sidang media yang diadakan di Warisan Hall Studio baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa festival ini bukan hanya sekadar konsert semata, tetapi bakal diisi dengan pelbagai program lain antaranya, pameran 60-an dan pelbagai gerai jualan untuk pengunjung.
Lebih menarik penonton juga berpeluang menikmati makanan dan minuman yang disediakan khas secara percuma.
“Konsert tersebut juga akan diadakan pada dua malam berturut-turut, malah peminat yang tidak dapat hadir juga masih berpeluang menontonnya melalui siaran premium YouTube bertiket malah rakaman konsert juga akan turut dijadikan sebagai kandungan digital saluran YouTube Warisan Records dan Wak TV Warisan.
“Diadakan selama dua hari bermula jam 11 pagi hingga 12 malam. Pelbagai pengisian program telah disusun sebaik mungkin, dan yang menariknya pada waktu siang kami membuka ruang untuk kumpulan-kumpulan baharu membuat persembahan tetapi dengan syarat mereka mestilah membawakan lagu-lagu 60- an,” ujarnya.
Sementara itu Raden Je rydin Raden Imbromsoekaman atau lebih dikenali dengan Datuk Je rydin menyifatkan usaha Warisan Sound untuk terus memartabatkan muzik 60-an adalah satu ‘journey’ buat peminat baharu yang ingin mengetahui lebih dekat lagi tentang muzik tersebut.
“Bagi saya, usaha saudara Khair wajar dicontohi malah badan-badan berkaitan yang berada di luar sana seharusnya mengambil inisiatif sebegini demi mengekalkan nuansa muzik 60-an itu sendiri,” “Saya juga berharap peminat yang datang ke konsert ini nanti dapat menggayakan fesyen 60-an demi menghidupkan lagi suasana di festival ini nanti,” ujarnya.
Selain Datuk Je rydin peminat juga bakal dihiburkan oleh penyanyi J. Sham, S. Mariam, Wak Mustar A. Rozainie Razali, Ahmad Yassin, Kugiran Wak Jeng, The Zurah, Malaya Boy Band, Sometimes Group, kumpulan The Majlis, dan penyanyi cilik Adik Shahaddad dan Adik Damia.
Festival dan Konsert 60an @Warisan Hall ini mendapat sokongan penuh dari Kementerian Komunikasi Dan Digital Malaysia melalui Kumpulan Mycreative Ventures di bawah Dana Persembahan Muzik dan Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik 2023.
Melalui saluran Dana Persembahan Muzik yang ditawarkan, sekali gus akan memberi tumpuan dan ruang untuk penganjuran pelbagai acara berbentuk persembahan dan konsert muzik awam bagi mengetengahkan bakat-bakat tanah air.
Peminat yang ingin menyaksikan konsert pada tarikh tersebut boleh mendapatkan tiket berharga RM25 dan RM10 (online streaming) di pintu masuk lokasi festival atau hubungi talian: 012- 4411966.