Festival Budaya Putrajaya 2023 tonjol destinasi pelancongan

Festival Budaya Putrajaya 2023 tonjol destinasi pelancongan

ANWAR Ibrahim menyaksikan Tiong King Sing menerima sijil Malaysia Book Of Record (MBOR) daripada Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Datuk Seri Dr. Michael Teo (tiga kanan) pada Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya kelmarin. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan inisiatif dan strategi yang berterusan bagi mempromosikan destinasi dan produk-produk pelancongan, seni dan budaya yang menarik.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, penganjuran Festival Budaya Putrajaya 2023 merupakan contoh yang menonjolkan Putrajaya bukan sahaja sebagai pusat pentadbiran, tetapi sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai landskap dan persekitaran menarik, selain seni bina bangunan yang unik dengan identiti tersendiri.

KEUNIKAN persembahan tradisi Sarawak turut mewarnai Festival Budaya Putrajaya 2023. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

“Oleh itu, izinkan saya untuk mengambil kesempatan di sini bagi mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar mengiktiraf dan memobilisasikan semua penjawat awam di sekitar Putrajaya sebagai duta promosi atau jurucakap Putrajaya.

“Mereka bukan sahaja penduduk Putrajaya yang ramai tetapi mempunyai identiti sebagai warga yang ramah dan ceria, sesuai untuk mempromosikan Putrajaya melalui lisan dan media sosial.

“Sudah tentu, Putrajaya berpotensi untuk terus berkembang dan maju sebagai destinasi pelancongan,” katanya ketika berucap sempena Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya, kelmarin.

Dalam pada itu, tambah King Sing, tugas utama MOTAC bukan sahaja untuk menarik pelancong dan mempromosi sektor pelancongan tetapi turut menekankan pentingnya mempromosi kebudayaan dan kesenian Malaysia.

“Perpaduan dapat dicapai melalui kebudayaan dan seni seperti dalam tarian dan muzik yang memerlukan kerjasama dalam satu pasukan. Tanpa kerja berpasukan, sesebuah tarian atau alunan muzik itu tidak dapat dipersembahkan dengan baik.

“Begitu juga dengan sebuah kerajaan atau kementerian yang memerlukan kita bekerja dalam satu pasukan mantap seterusnya dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara, selari dengan konsep perpaduan dan Madani yang dicetuskan Perdana Menteri yang harus kita semua jayakan bersama,” katanya.

Festival yang diadakan buat julung kali itu turut menyaksikan catatan dalam Malaysia Book of Records menerusi penganjuran Konsert Mega Dikir Barat dan Paluan Rebana berskala antarabangsa pertama diiringi Orkestra Tradisional Malaysia.

ANTARA persembahan pada Festival Budaya Putrajaya 2023 di Dataran Putrajaya di sini, kelmarin.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

Program selama empat hari bermula 28 September sehingga semalam itu dibawakan oleh MOTAC dengan kerjasama rakan strategik Perbadanan Putrajaya dan Istana Budaya yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar sewaktu berucap pada majlis itu turut mencadangkan festival yang diadakan buat julung kali ini dimasukkan dalam kalendar MOTAC sebagai acara tahunan negara.

Malah, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan dan memuji penganjuran acara yang berlangsung sejak Khamis lalu.

Anwar berkata, aktiviti seni dan budaya harus diperkasa seiring dengan kemajuan ekonomi negara.

“Oleh kerana saya lihat (persembahan) hebat malam ini (semalam), mungkin saya akan cadangkan supaya acara Festival Budaya Putrajaya ini dijadikan acara tahunan di Putrajaya,” katanya.
Lima segmen persembahan yang dipertontonkan kepada pengunjung yang hadir meliputi paluan buka panggung dan bertabuh, persembahan lagu Jogho, battle tukang karut, lagu rampaian serta Dikir Kreasi diiringi oleh 230 pemain rebana dan 200 awak-awak.

Selain itu, antara yang turut menarik perhatian adalah penganjuran Co ee Republic dengan penglibatan 70 gerai pelbagai jenama kopi dan menu pilihan juadah, pertandingan barista Latte Art dan pertandingan kopi tarik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya