Exists cipta sejarah - Utusan Malaysia

Exists cipta sejarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertama kali mengadakan konsert berskala besar bersama orkestra, kumpulan legenda, Exists tidak dapat menyimpan dalam perasaan teruja dan tidak sabar mereka untuk beraksi.

Kongsi salah seorang anggota, Along, Konsert Exists x Orkestra yang bakal berlangsung 22 Disember depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu adalah antara impian mereka yang bakal terlaksana.

“Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian tentang dunia kami ini adalah melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.

“Kami fikir dengan sudah banyak persembahan skala kecil kepada skala besar, dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkolaborasi dengan orkestra.

“Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini peribadi buat setiap anggota yang sudah berkelana sangat jauh, dari usia remaja sehingga sekarang.

“Apapun terima kasih yang sebesarnya mahu kami sampaikan kepada peminat kerana jika tanpa sokongan dan kepercayaan bahawa Exists masih relevan dan perlu terus hidup dalam industri ini, mungkin Exists tidak akan wujud lagi,” ujar Along.

Dalam pada itu, Pengarah Program Persatuan Global Malaysia, Mohd Roslan Mohd Rafi berkata, Konsert Exists X Orkestra akan menjadi sebuah sejarah peribadi buat kugiran yang dianggotai Ajai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad sepanjang pembabitan mereka sebagai pemuzik.

“Sudah tentu Konsert Exists pada kali ini berbeza dengan apa yang pernah dilihat dan dipersembahkan mereka sebelum ini.

“Jika sebelum ini Exists bermain sebagai sebuah kugiran tetapi untuk konsert kali ini anda buat pertama kalinya akan menjadi sebahagian daripada sejarah kerana Exists akan bergabung dengan kumpulan orkestra.

“Kami selaku penganjur harus mengucapkan jutaan terima kasih kepada Exists dan orkestra kerana menyambut baik cadangan kami lalu menjadikan ia sebuah kenyataan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN