GAZA dibedil tanpa ada belas Ihsan. Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, akibat pengeboman berterusan rejim Zionis itu, tidak ada seinci pun bumi Gaza yang boleh dianggap selamat.
Lebih dua juta penduduk wilayah yang diibaratkan sebagai kem tahanan atau penjara terbuka itu sudah tidak ada tempat bersembunyi. Masjid, gereja, sekolah malah hospital semuanya menjadi sasaran serangan Israel.
Ada yang berhujah semuanya berpunca daripada pejuang Hamas sendiri yang melancarkan serangan roket ke wilayah haram Israel pada 7 Oktober lalu. Serangan itu telah memaksa Israel untuk bertindak balas atas alasan mempertahankan negara mereka.
Tetapi itu tidak bermakna hampir setiap penduduk Gaza perlu dijadikan mangsa. Ketika Israel memberi amaran supaya penduduk Gaza mengosongkan kawasan utara dan berpindah ke selatan, kawasan Rafah di selatan turut dibom.
Akibat krisis Gaza itu, Asia Barat kini ibarat berada di hujung tanduk ekoran perang Hamas dan Israel.
Menurut Ketua Agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philippe Lazzarini, konflik itu boleh merebak ke seluruh rantau itu terutama apabila Hizbollah juga mula melancarkan serangan hingga memaksa Israel turut memberi fokus di Lebanon.
Apa pun yang berlaku, sama ada konflik merebak atau tidak, yang paling terjejas sudah tentu orang awam di Gaza. Mereka bukan sahaja terputus hubungan, tetapi segala-galanya terutama makanan dan ubat-ubatan.
Ia mengulangi pencerobohan rejim Zionis pada hujung 2008 hingga awal 2009 yang menyaksikan bumi Gaza terutama di kawasan utara diranapkan. Seperti biasa dunia tidak ada simpati pada Gaza. Sebab itu ramai yang hanya memerhati dari jauh tanpa berbuat apa-apa.
Sedangkan jiran-jiran Palestin Gaza semuanya negara Islam dengan kira-kira 200 juta umat. Mesir, Arab Saudi, Syria, Jordan, Lebanon dan Iran adalah jiran sesama Islam yang terdekat mereka.
Itu belum ambil kira jiran-jiran yang kaya raya seperti Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman. Semuanya sekadar melahirkan simpati dari jauh tanpa berbuat apa-apa kerana mereka ini boleh diibaratkan sebagai boneka kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Mesir misalnya, tidak akan membuka sempadan di Rafah untuk bantuan kemanusiaan selagi tidak diberikan kebenaran oleh AS dan Israel.
Jika tidak dapat memberi bantuan dari segi ketenteraan, sekurang-kurangnya bukalah koridor kemanusiaan untuk penduduk Gaza supaya mereka ada makanan dan ubat-ubatan untuk merawat yang cedera.
Jiran-jiran sesama Islam yang kaya terutamanya, berilah tekanan kepada AS supaya membenarkan konvoi kemanusiaan masuk ke wilayah itu.
Keadaan sekarang seolah-olah seperti semua pihak menunggu supaya bumi dan penduduk Gaza lunyai dihentam oleh Israel sebelum bantuan dibenarkan masuk.
Seperti kata Lazzarini, dunia kini sudah hilang nilai kemanusiaannya. Dalam keadaan sekarang hanya nyawa sekutu AS dan Israel sahaja yang ada nilai. Yang lain layak dibunuh tanpa ada perikemanusiaan.
Lihatlah imej kanak-kanak yang terbunuh di jalanan, yang tertimbus bawah runtuhan bangunan dan yang tersepit di celah-celah sisa letupan. Adakah mereka ini pengganas? Adakah mereka layak dibunuh begitu sahaja? Dan yang cedera pula dibiarkan tanpa rawatan.
Walaupun Hamas dikatakan bersalah kerana melancarkan serangan ke atas Israel, tetapi apakah itu bermakna dunia membenarkan keseluruhan penduduk dan bumi Gaza di lenyapkan? Lupakah dunia bahawa bumi yang kini digelar Israel itu dahulu adalah milik Palestin?
Tindakan Hamas itu tidak semestinya perlu diikuti dengan serangan balas yang seolah-olah tidak ada had hingga setiap individu di Gaza perlu menanggung akibatnya. Adakah tindakan Israel membunuh orang awam yang tidak bersalah dengan alasan demi kepentingan keselamatan dan keamanan masa depan mereka dan Asia Barat itu boleh dianggap wajar?
Israel seolah-olah sedang melakukan hukuman secara kolektif dengan disokong oleh AS dan PBB apabila melakukan kepungan secara menyeluruh ke atas Gaza.
“Kita berada dalam situasi di mana lebih sejuta orang telah diminta untuk dipindahkan. Jadi, ini adalah hukuman kolektif, dan hukuman kolektif adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Lazzarini.
Sebab itu, semua pihak di dunia sepatutnya memberi tekanan kepada Israel supaya menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dengan sekurang-kurangnya membenarkan misi kemanusiaan di bumi Gaza.
Krisis kemanusiaan kini semakin meningkat di Gaza dengan 2.2 juta penduduknya semakin terhimpit terutama apabila separuh daripada mereka telah kehilangan tempat tinggal.
Akibat sekatan Israel yang disokong oleh AS, Gaza kini tiada air. Situasi ini sudah tentu mengundang bencana lebih besar termasuk wabak penyakit apabila dikatakan satu tandas dikongsi 4,000 orang.
Menurut Lazzarini, tanpa air bencana akan terjadi lebih pantas. Gaza akan menjadi lebih teruk daripada apa yang dibayangkan. Sehingga kini tidak ada satu lori bantuan pun dibenarkan masuk. Mesir terus bersikap hati batu enggan membuka sempadannya selagi tiada kebenaran dari AS dan Zionis.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu pemberita pada hari Khamis bekalan akan dihantar sebaik sahaja pintu sempadan Rafah dibuka.
PBB telah memberi amaran tentang malapetaka kemanusiaan ini melainkan bantuan dibenarkan masuk ke Gaza.
Semalam ada ura-ura mengatakan sempadan Rafah dibuka untuk membolehkan bantuan dibawa masuk tetapi terhad kepada 20 lori sahaja.
Lazzarini pula berkata, jumlah itu jauh dari mencukupi kerana sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, kira-kira 500 trak sehari akan membawa bantuan, bahan api dan barangan lain masuk ke Gaza.
Kini, katanya, tidak jelas berapa banyak bantuan yang diperlukan atau apa yang mereka akan dibenarkan terima – tetapi dianggarkan agensi itu memerlukan sekurang-kurangnya 100 trak sehari untuk membantu penduduk Gaza.
Rakyat Palestin di Gaza kini ditinggalkan bersendirian oleh masyarakat antarabangsa. Mereka sudah tidak ada tempat untuk bergantung. Dalam setiap individu di Gaza pasti ada ahli keluarga yang terbunuh.
Yang hidup pula tidak mendapat sebarang khabar berita daripada saudara yang lain dan sebenarnya mereka sendiri tidak ada masa untuk memikirkan hal orang lain kerana perlu menjaga kelangsungan hidup mereka sendiri.
Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.










