PETALING JAYA: Dua kediaman di Blok 4, Apartment Desa Tun Razak dekat sini terbakar selepas berlaku letupan dipercayai akibat kebocoran gas.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada 10.59 malam berkaitan kejadian tersebut.
Menurut Komander Operasi Kanan, Norasmah Alias, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dan BBP Bandar Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, kebakaran berpunca dari kebocoran gas sehingga berlaku letupan.
“Letupan tersebut turut melibatkan dua buah rumah berhampiran dan terdapat seorang mangsa lelaki berusia 32 tahun melecur 30 peratus.
“Mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ke zon merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, akibat kejadian itu, sebanyak 12 motosikal rosak dihempap dinding rumah dalam letupan itu.
“Punca kebakaran masih dalam penyiasatan,” katanya. – UTUSAN