Malaysia-Poland sedia perkukuh kerjasama ASEAN-EU

Malaysia-Poland sedia perkukuh kerjasama ASEAN-EU

ANWAR Ibrahim ketika mesyuarat dua hala sempena sambutan rasmi Presiden Poland ke Malaysia serta delegasi di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Poland menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) dengan memanfaatkan kedudukan masing-masing sebagai Pengerusi, ke arah membentuk satu perkongsian antara serantau lebih strategik dan bersifat jangka panjang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjajaran diplomatik yang sedang berlaku dengan Malaysia mempengerusikan ASEAN dan Poland memegang jawatan Presiden Majlis EU pada tahun ini membuka ruang unik bagi mengeratkan lagi hubungan ASEAN-EU, khususnya dalam aspek perdagangan.

“Lawatan Presiden Andrzej Duda ini amat istimewa kerana beliau kini memegang jawatan Presiden Majlis EU, manakala Malaysia pula Pengerusi ASEAN.

“Perbincangan kami merangkumi kedua-dua aspek hubungan dua hala dan isu lebih luas melibatkan ASEAN-EU,” katanya dalam sidang akhbar bersama pemimpin Poland itu di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Anwar turut memaklumkan bahawa rundingan antara ASEAN dan EU, khususnya berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), kini menunjukkan perkembangan positif selepas bertahun-tahun mengalami kemajuan perlahan.

Sementara itu, Andrzej berkata, antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan negara-negara Eropah Tengah yang terlibat dalam Inisiatif Tiga Laut (Three Seas Initiative), yang terdiri daripada negara anggota EU dari Eropah Tengah.

Beliau berkata, inisiatif itu hanya melibatkan negara anggota EU, namun berpotensi menjadi platform untuk memperkukuh dialog ekonomi dan hubungan serantau dengan ASEAN.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan minat mendapatkan perspektif ASEAN terhadap perkembangan antarabangsa terkini memandangkan Malaysia kini mempengerusikan ASEAN.

Andrzej kini berada di Malaysia bagi lawatan rasmi tiga hari iaitu lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan Presiden Poland pada Ogos 2015.

Lawatan ini berlangsung serentak dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dan Poland bakal memegang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah pada separuh pertama 2025.

Pada tahun 2024, Poland merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat sebanyak 19.5 peratus kepada AS$1.33 bilion (RM5.66 bilion) berbanding tahun 2023.

Eksport utama Malaysia ke Poland merangkumi produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera, manakala import utama dari Poland termasuk jentera, peralatan dan alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN