KUALA LUMPUR : Empat tahun mengorbankan keselesaan diri dan masa bersama keluarga dirasakan berbaloi buat graduan KPJ Healthcare University (KPJU), Dr. Tan Wei How,30, yang berjaya menamatkan program Sarjana Ortopedik di universiti berkenaan.
Sekali gus menyandang gelaran doktor pakar, kata Dr.Tan, impian itulah yang telah menguatkan semangatnya untuk melepaskan jawatan di sebuah hospital kerajaan sebelum meneruskan khidmat di KPJ Seremban.
Kata Dr Tan, dia menyambung pengajian dalam program Sarjana Ortopedik di KPJ selama empat tahun demi melunaskan cita-citanya itu.
Malah, katanya, walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan bekerja, namun dengan sokongan keluarga dan majikan dia berjaya bergelar Pakar Ortopedik pertama di KPJU.
Sementara itu, pelajar terbaik Sarjana Muda dalam Psikologi,Nurul Ilham Abd Talib, 24, pula berkata, penat lelahnya selama tiga tahun berbaloi apabila menerima dua anugerah tertinggi KPJU dalam bidang psikologi iaitu Johor Corporation President dan Chief Executive Award.
Anak kedua daripada tiga bersaudara yang juga ahli majlis perwakilan pelajar (MPP) itu mengakui antara cabaran getir yang dihadapi sepanjang pengajian adalah menyeimbangkan masa antara belajar dan aktiviti MPP.
“Saya memang menyukai bidang psikologi yang menyuntik semangat untuk mendorong saya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya bersyukur dan bangga dipilih untuk menerima anugerah utama yang juga berkat tunjuk ajar pensyarah, sokongan rakan serta keluarga,” katanya.
Dr. Tan dan Nurul Ilham adalah antara 1,300 graduan KPJU yang dianugerahkan Sijil Universiti yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai disiplin penjagaan kesihatan.
Majlis Istiadat Konvokesyen ke-25 KPJU itu diadakan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) di sini, Khamis lalu.
Sementara itu, Canselor KPJU Prof Emerita Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, KPJU sentiasa berusaha memastikan peningkatan reputasinya sebagai antara institusi pengajian tinggi terbaik dalam sains kesihatan di peringkat global.
Katanya, ini terbukti apabila graduan KPJU mendapat pekerjaan dan diiktiraf di beberapa negara seperti Thailand, Brunei, Indonesia, Arab Saudi dan terbaru di Singapura.
Berdasarkan analisis data alumni 2022, KPJU juga mencapai peratusan 92 peratus graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduan.
Konvokesyen ini menandakan perjalanan luar biasa KPJU sebagai institusi swasta pertama yang menawarkan diploma kejururawatan sejak 1991 dan sejak Jun lalu dinaik taraf berstatus universiti.
“Kejayaan graduan KPJU disokong pakar perubatan dan penjagaan kesihatan Kumpulan KPJ Healthcare serta 29 hospital di seluruh negara yang menawarkan latihan praktikal kepada pelajar dan pendedahan kepada persekitaran klinikal sebenar.
“Graduan KPJU mendapat keistimewaan untuk akses kepada rangkaian hospital Pakar KPJ yang berfungsi sebagai pusat latihan selain disokong 1,500 Perunding Perubatan, Jururawat Kanan, Pakar Kesihatan Bersekutu dan Pengajar Klinikal terlatih,” katanya
Tambah Dr. Sharifah Hapsah, KPJU juga bakal menawarkan program akademik dan kursus mata pelajaran berkaitan “artificial intelligent” (AI) bermula tahun hadapan.
“Ini bagi memastikan graduan bersedia memenuhi keperluan kemahiran dalam bidang teknologi kesihatan terkini seperti ‘robotic surgery” dan elemen ‘AI’ dalam modality diagnostic sebagai contoh program Postgradute Diploma in Artificial Intelligence for Healthcare Professional.
“Bidang kesihatan pada hari ini tidak terhad kepada merawat pesakit atau penjagaan klinikal sahaja, namun melibatkan bidang yang luas seperti informatik kesihatan, teknologi digital, pengurusan kesihatan dan fasiliti kesihatan,” tambahnya.










