Dewan Rakyat: Malaysia kekal pendirian segala hak rakyat Palestin

Dewan Rakyat: Malaysia kekal pendirian segala hak rakyat Palestin mesti dipulangkan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel. 

Ini termasuk tanah yang dirampas dikembalikan dan membentuk negara merdeka serta berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan Malaysia.

Katanya, negara akan terus menyokong segala usaha konkrit dan realistik untuk mencari jalan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

“Penyelesaian ini bagaimanapun hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) serta memenuhi teras-teras yang dinyatakan dahulu.

“Ia juga termasuk memberi sokongan terhadap keabsahan rakyat Palestin membentuk sebuah negara yang bebas dari pencerobohan Israel yang berterusan dalam meluaskan penempatan Yahudi di Tebing Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, pendirian lantang dan tegas Malaysia kerap kali dinyatakan secara jelas dan terang di setiap lapangan, keadaan dan masa termasuk di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan PBB.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada 22 September lalu dengan tegas menekankan pendirian Malaysia mengenai isu Palestin.

“Malaysia turut menyertai beberapa negara lain dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 25 Julai lalu mengenai pendudukan, penempatan haram dan pengilhakan (pengambilan wilayah tanpa kebenaran) yang berpanjangan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 1967.

“Selain bantuan dari kerajaan, kita juga turut membantu menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada dana yang dikumpul dari sumbangan awam melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendali oleh Kementerian Luar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya