Dewan Rakyat: Israel tidak sepatutnya serang kawasan terpelihara

Dewan Rakyat: Israel tidak sepatutnya serang kawasan terpelihara

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa rejim Israel tidak sepatutnya melakukan serangan secara berterusan di kawasan-kawasan yang sepatutnya dipelihara di Palestin. 

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kawasan yang mesti dipelihara itu antaranya hospital, sekolah dan masjid.

Beliau menzahirkan perasaan sedih dengan tindakan zalim Israel yang mengebom dan memusnahkan kawasan sepatutnya dipelihara itu.

“Kita amat sedih dengan apa yang berlaku kerana pengeboman berterusan sehingga ke saat ini tanpa mengambil kira lunas antarabangsa termasuk pengeboman dan pemusnahan kawasan-kawasan yang sepatutnya dipelihara antaranya hospital, sekolah, masjid.

“Demikian juga kawasan Gaza yang diputuskan bekalan elektrik, juga tiada bekalan makanan dan sebagainya. Ini merupakan tindakan kezaliman keterlaluan oleh pihak Israel,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. 

Turut serta dalam sidang media itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali serta beberapa Ahli Parlimen daripada Pas dan DAP.

Pada masa sama, Zambry mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan RM1 juta yang dikumpul daripada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Katanya, sumbangan awal itu merupakan solidariti rakyat Malaysia yang berterusan kepada Palestin.

“Terima kasih semua pihak khususnya ahli Parlimen yang berdiri di hadapan. Kita mewakili parti-parti yang ada dalam negara tanpa mengira latar belakang atau fahaman sama ada latar belakang agama atau bangsa.

“Pada hari ini, kita semua berdiri teguh atas satu hasrat menyatakan dukungan kita dalam usaha untuk memastikan supaya pembelaan sewajarnya diberikan terhadap kedudukan dan nasib rakyat Palestin di Gaza dan seluruhnya.

“Oleh yang oleh demikian, kerajaan Malaysia memutuskan untuk meneruskan tabung AAKRP yang diwujudkan. Dengan perkembangan semasa, kita gerakkan tabung ini melibatkan semua pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN