Dewan Rakyat: Dasar haji bersasar diteruskan pada 2024

Dewan Rakyat: Dasar haji bersasar diteruskan pada 2024

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dasar kadar bayaran haji bersasar yang diperkenalkan pada musim haji 1444H akan diteruskan pada musim 1445H iaitu 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, inisiatif bantuan kewangan itu akan diteruskan dari tahun ke tahun kepada golongan paling memerlukan selaras dengan hasrat kerajaan untuk menstruktur semula subsidi secara bersasar.

Katanya, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat juga dilakukan menerusi media, media sosial dan libat urus tentang kepentingan konsep kemampuan atau istita’ah.

“Syukur alhamdulillah, seramai 67 jemaah B40 dan M40 menolak bantuan kewangan haji yang layak diperoleh pada musim haji lepas, sebaliknya membayar kos penuh kerana berpegang kepada syarat kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah haji.

“Manakala seramai 396 jemaah B40 dan M40 mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000 berbanding bayaran haji minimum yang dikenakan,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada bantuan kewangan kos bayaran haji secara bersasar bagi kategori B40, M40 dan T20 seperti yang dilaksanakan pada musim haji 2023 akan diteruskan pada tahun hadapan.

Beliau bagaimanapun mengakui Tabung Haji terus berdepan dengan peningkatan kos haji kerana faktor di luar kawalan termasuk inflasi, percukaian, kadar tukaran mata wang, projek pembesaran berterusan Mekah dan Madinah menyebabkan banyak bangunan penginapan haji dirobohkan yang memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“Tabung Haji terus berusaha mengawal peningkatan kos dengan memeterai perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi. Dengan cara ini harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

“Kita memahami persekitaran semakin mencabar termasuk inflasi, namun, kita akan terus memberi bantuan kewangan kepada jemaah yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Mohd. Na’im juga terbuka dengan pertimbangan untuk membuat pengkelasan baharu bagi setiap kategori jemaah haji, walaupun kadar bantuan kewangan haji ditetapkan bagi setiap jemaah berdasarkan kategori pendapatan individu masing-masing dan bukannya berdasarkan isi rumah.

Katanya, dasar klasifikasi mengikut B40, M40 dan T20 berasaskan kerjasama agensi kerajaan untuk menyemak silang maklumat bakal jemaah haji dengan pangkalan data penerima bantuan kerajaan sedia ada.

“Kita mengambil maklum usaha kerajaan membina pangkalan data utama (Padu) yang akan menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah dalam usaha menyalurkan subsidi adil dan bersasar.

“Untuk tujuan tersebut, sekiranya diberi ruang dan peluang akan mempertimbangkan cara baharu untuk menambah baik proses mengklasifikasikan bakal jemaah bagi tujuan pemberian bantuan kewangan selari dengan hasrat kerajaan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN