KUALA LUMPUR: Dana Jaminan Khas yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 mampu membantu menyiapkan projek rumah sakit dan terbengkalai.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir berkata, pihaknya sudah bersedia untuk mengemukakan beberapa cadangan mekanisme dana itu kepada Kementerian Kewangan.
“Antaranya supaya projek yang kita nak bantu melalui dana rumah tersebut adalah rumah mampu milik di bawah harga RM300,000.
“Kita juga cadangkan supaya pemajuan projek melepasi sekurang-kurangnya 80 peratus, kita juga perlu melihat program terletak di bawah kerajaan atau pihak berkuasa negeri sebenarnya bertujuan menyediakan rumah mampu milik menghadapi risiko projek sakit,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai di sebalik wujudnya Akta 118.
Pada masa sama, katanya, pihak kementerian juga menumpukan kepada mengelakkan projek sakit dan terbengkalai.
“Bebanan dan tanggungjawab kepada pemaju perlu ada perincian maka di peringkat pasukan petugas khas sedang menilai, bukan sahaja meminda akta sedia ada tapi penguatkuasaan sedia ada.
“Pengawalan melalui akaun HDA akaun bank untuk pemajuan walaupun ada akaun tersebut, tapi, kawalan itu kena tingkatkan supaya tidak berlaku ketirisan dan sikap tidak bertanggungjawab di pihak pemaju,” katanya. -UTUSAN