NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan pentas ucapan graduasi pertama akademi ketenteraan dalam penggal keduanya untuk memuji pencapaian kadet West Point sambil menyelitkan unsur politik dengan mendakwa beliau bertanggungjawab terhadap kekuatan ketenteraan AS dan menegaskan mandat yang diterimanya dalam pilihan raya 2024.
“Sebentar lagi, anda akan bergelar graduan dari akademi ketenteraan paling elit dan bersejarah dalam sejarah manusia.
“Dan anda akan menjadi pegawai dalam angkatan tentera terhebat dan terkuat yang pernah wujud. Saya tahu, kerana sayalah yang membina semula tentera itu dalam penggal pertama saya seperti belum pernah dilakukan sebelum ini,” kata Trump dalam ucapannya di Stadium Michie.
Trump yang memakai topi merah bertulis ‘Make America Great Again’ berkata kepada 1,002 kadet kelas 2025 di Akademi Tentera AS bahawa AS kini merupakan negara paling ‘hebat’ di dunia dan menekankan doktrin ketenteraan ‘America First’.
“Kita sedang menghapuskan gangguan dan memfokuskan tentera kita kepada misi teras iaitu menghancur dan membunuh musuh AS serta mempertahankan bendera AS yang hebat seperti belum pernah dilakukan sebelum ini,” ujar beliau.
Trump turut menyalahkan pemimpin politik terdahulu kerana menghantar tentera menyertai misi pembinaan negara di tempat yang tidak menginginkan kehadiran AS.
Beliau turut menyatakan usaha untuk membersihkan ketenteraan dari pengaruh ideologi transgender, teori perkauman kritikal dan latihan-latihan yang disifatkannya sebagai memecahbelahkan dan bermotifkan politik.
“Pentadbiran sebelum ini telah menjadikan angkatan tentera sebagai alat ujikaji sosial dan politik sementara sempadan kita terbiar tanpa kawalan dan senjata kita dikerah untuk berperang demi negara lain,” katanya.
Ucapan Trump itu sekali lagi menunjukkan kecenderungannya untuk menyampaikan mesej politik dalam acara rasmi ketenteraan sambil terus mempromosikan naratif nasionalis yang menjadi teras kepada kempen dan pentadbirannya. -AGENSI










