Dewan Rakyat bersidang esok selama 32 hari, tumpu

Dewan Rakyat bersidang esok selama 32 hari, tumpu pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2024 

ANWAR Ibrahim ketika memberi penjelasan tentang kes DNAA Ahmad Zahid Hamidi pada sidang khas Parlimen baru-baru ini. - IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat Penggal Kedua Parlimen Ke-15 akan membuka tirainya selama 32 hari bermula esok sehingga 30 November depan. 

Perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat di minggu pertama dijangka lebih menarik dan dramatik kerana mesyuarat akan tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pukul 4 petang, Jumaat depan. 

Ini merupakan belanjawan kedua Kerajaan Perpaduan di bawah gagasan Malaysia Madani. 

Belanjawan tahun ini memperuntukan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan.

Di minggu kedua dan ketiga, Dewan Rakyat akan berbahas mengenai belanjawan di peringkat dasar disusuli jawapan kementerian pada minggu keempat. 

Dewan Rakyat kemudian membahaskan belanjawan di peringkat jawatan kuasa pada minggu kelima hingga lapan dan RUU serta urusan kerajaan yang lain.

LAPORAN PROSIDING PAC ISU LCS 

Berdasarkan risalat-risalat dibawa ke dalam  mesyuarat esok, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Pengerusi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan membentang laporan pertamanya berhubung kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS), milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023. 

Buat pertama kali dalam sejarah Parlimen,  ahli-ahli Dewan Rakyat berpeluang membahaskan laporan prosiding PAC yang menjadi tuntutan banyak pihak, memandangkan ia hanya dibentang tanpa perbahasan mengikut amalan sebelum ini.

PAC terdahulu mendedahkan, tiada satu pun LCS disiapkan meskipun kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus. 

GENERASI PENAMAT ROKOK (GEG)

RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dibentang semula bagi bacaan kali yang kedua.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan mencadang penyata yang disiapkan oleh jawatankuasa itu berhubung RUU berkenaan.

RUU itu bakal melarang penjualan serta penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

RUU itu dibentang bacaan pertama pada 12 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan dengan penelitian dibuat oleh ahli-ahlinya  untuk meneliti dan membuat syor penambahbaikan.

Bagaimanapun, ia hanya diletakkan di senarai enam dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul kerana beberapa penerangan akan dilakukan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkenaan isu bekalan beras putih tempatan. 

Selain itu, Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim akan menerangkan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Penerangan disusuli Kementerian Pertahanan berkenaan kumpulan Boustead yang merupakan salah satu anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu reformasi penjara dan pusat. 

LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI (LHDN) 

Selain itu, RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 akan turut dibaca untuk kali yang kedua dan diluluskan. 

Pembentangan RUU itu ditangguh sejak mesyuarat Dewan Rakyat pada 15 Jun lalu dan dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi. 

Ini disebabkan pelbagai kebimbangan dalam kalangan Ahli Parlimen berhubung pemilihan dan pengguguran keanggotaan ahli lembaga pengarah LHDN mewakili Sabah dan Sarawak yang mungkin mewujudkan keadaan bias kerana Menteri Kewangan berkuasa penuh ke atasnya.

Ahli Parlimen Kota Belud dari Parti Warisan (Warisan), Isnaraissah Munirah Majilis sebelum ini berhujah, sekalipun wakil-wakil Sabah dan Sarawak berada di dalam lembaga pengarah LHDN, ia tidak akan dapat melindungi  keistimewaannya kerana pelantikan itu boleh ditarik semula. 

Beliau mempersoal jika ahli lembaga pengarah mewakili Sabah dan Sarawak berisiko dipecat jika mendedahkan maklumat yang menyentuh kepentingan negeri atau tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan.  

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini berkata, dalam pembaharuan RUU itu, ada penurunan kuasa berhubung pemilihan dan pengguguran keanggotaan ahli lembaga LHDN yang akan diberi kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak. 

RUU BACAAN KALI PERTAMA

Terdapat lima RUU yang akan dibaca untuk kali yang pertama iaitu RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023; RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023; RUU Bekalan Elektrik (Pindaan) 2023; RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 dan RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023. 

REFORMASI UNDANG-UNDANG 

Menuju mesyuarat Dewan Rakyat kali ini, sebenarnya, masih banyak reformasi undang-undang menjadi tuntutan awam sejak sekian lama.

Bagaimanapun, ia belum dimasukkan dalam senarai aturan mesyuarat antaranya RUU Ombudsman Malaysia; RUU berkaitan pendanaan politik; RUU Perkhidmatan Parlimen; pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya; RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak, pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan RUU Majlis Media. 

KES DNAA AHMAD ZAHID 

Dewan Rakyat kali terakhir bersidang pada 19 September lalu menyaksikan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM415 bilion diluluskan. 

Mesyuarat itu diakhiri dengan adegan kekecohan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang diketuai Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin.

Beliau menyifatkan mesyuarat khas ketika itu sebagai satu hari hitam untuk Parlimen Malaysia setelah dituduh oleh Anwar bahawa bekas Menteri Pendidikan itu melakukan sesuatu yang buruk semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Anwar ketika itu menyentuh isu melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayahnya. Radzi bagaimanapun tidak dapat menerima tuduhan itu dan bangkit mempertahan maruahnya di khalayak, manakala perkataan “tarik balik” bergema di seluruh dewan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya