Dewan Rakyat diminta bahas isu kilang sorok beras

Dewan Rakyat diminta bahas isu kilang sorok beras

Mohammed Taufiq Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Petani daripada PKR mengemukakan satu usul meminta supaya isu sebuah kilang beras di Kedah yang disita dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat. 

Mohammed Taufiq Johari berhujah, hal ini kerana kilang tersebut disyaki menyorok beras putih tempatan seberat 180 tan metrik. 

Beliau mengemukakan usul tersebut kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1).

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor berkata, pihaknya maklum mengenai usul dikemukakan beliau, namun, Johari akan membuat keputusan sama ada usul tersebut boleh dibentang di Dewan Rakyat atau sebaliknya.

“Usul itu sudah diambil maklum dan dalam pertimbangan Speaker Dewan Rakyat. Kita menanti keputusan Speaker dulu,” kata Ramli dalam sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Sementara itu, Mohammed Taufiq dalam sidang media di sini menyifatkan usul itu sebagai perkara tertentu memandangkan isu kekurangan beras sudah berlarutan sejak lama dan terbukti wujudnya aktiviti penyorokan beras.

“Usul ini perlu disegerakan kerana isu menyorok beras ini memerlukan penjelasan penuh pihak berwajib dan perlu dibahaskan di Parlimen. Kita perlu rungkai siapa yang bertanggungjawab dalam ‘jenayah’ ini.

“Isu ini berkepentingan orang ramai sebab ia sudah menjejaskan makanan ruji rakyat. Ini satu pengkhianatan terbesar oleh pihak berkenaan.

“Saya harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera sementara Parlimen dapat berbahas isu sebenar dan ramai ahli Parlimen juga boleh suarakan hal ini,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, tindakan menyita makanan ruji negara itu dilakukan selepas kilang terbabit didapati menyorok bekalan beras dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen.

Katanya, beras bergred Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) atau BPT itu ditemukan di dalam kampit jumbo, dianggarkan bernilai RM405,000.

Sitaan itu dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya