PETALING JAYA: Seorang bekas pengerusi sebuah koperasi bergelar Datuk Seri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kira-kira RM60,000.
Penahanan suspek berusia 60-an itu dipercayai dilakukan pukul 2 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020 hingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengerusi koperasi berkenaan.
“Suspek dipercayai mengemukakan tuntutan pembayaran khidmat nasihat bagi projek di Johor dan bayaran pendahuluan bagi projek pembangunan bercampur di Kuala Selangor sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.
Susulan itu, SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret 1 Kuala Lumpur pagi tadi dan Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 8 Oktober ini terhadap suspek.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kata beliau,kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -UTUSAN