Dapo Pata sukar bangkit walaupun Covid-19 sudah berlalu

Dapo Pata sukar bangkit walaupun Covid-19 sudah berlalu

KEADAAN premis yang terbiar sejak pandemik Covid-19 di Dapo Pata, Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Tapak niaga Dapo Pata atau Uptown Kontena yang pernah menjadi destinasi makanan popular di Pantai Tok Jembal dekat sini, kini bertukar sunyi dan suram.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tapak niaga yang dahulunya dipenuhi pengunjung terbiar dan tidak terjaga walaupun masih ada pengusaha menjalankan operasi sehingga lewat malam.

Seorang pengunjung, Arshad Ali, 32, berkata, situasi itu berlaku sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu setelah peniaga tidak dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Menurutnya, pada masa ini, hanya dua peniaga makanan masih meneruskan perniagaan di kawasan itu yang boleh menempatkan lebih 12 pengusaha pada satu-satu masa.

Selain itu, katanya, antara punca perniagaan di situ tidak mendapat sambutan disebabkan peniaga terdahulu mengenakan harga makanan dan minuman yang terlalu mahal.

“Dapo Pata dibuka sejak 2015 manakala kemuncaknya adalah pada 2018 dan 2019 apabila tular sebagai lokasi tarikan pelancongan makanan berkonsepkan kontena.

“Penularan Covid-19, pada awal 2020 ibarat penamat buat peniaga di Dapo Pata apabila ramai terpaksa gulung tikar dan sekarang hanya dua peniaga beroperasi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pekerja kedai makan yang enggan dikenali berkata, premisnya masih bertahan walaupun jumlah kehadiran pengunjung tidak menentu termasuk pada hujung minggu.

Katanya, kawasan berkenaan kini sedang dalam proses pembangunan semula bagi menghidupkan kembali suasana seperti sebelum ini.

“Ramai yang menyangka Dapo Pata sudah berkubur menyebabkan pelanggan semakin berkurang lebih-lebih cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat sejak kebelakangan ini.

“Difahamkan kerja-kerja pembersihan dan pembaikian kontena sedang bergerak sejak sebulan lalu bagi mewujudkan Dapo Pata 2.0, jadi ini petanda positif untuk kami bangkit semula,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN