PETALING JAYA: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memberi teguran keras terhadap dua pemimpinnya yang menerima gelaran Datuk.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, CEC yang bersidang semalam mendapati tindakan kedua-dua individu itu adalah melanggar dasar parti yang melarang menerima sebarang gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Justeru, CEC menegur sekeras-kerasnya saudara Chan Foong Hin dan saudara Phoong Jin Zhe kerana melanggar dasar parti.
“CEC DAP mengulangi pendirian bahawa semua wakil rakyat harus menumpukan perkhidmatan kepada rakyat dan hanya perlu dipertimbangkan untuk sebarang anugerah selepas bersara daripada jawatan yang dipilih.
“DAP merakamkan ucapan terima kasih kepada Raja-raja dan Yang Dipertua Negeri atas semua penganugerahan anugerah dan akan terus menjunjung tinggi institusi diraja kita melalui perkhidmatan kepada negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Foong Hin yang merupakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, awal bulan ini.
Phoong Jin pula adalah Setiausaha DAP Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang. -UTUSAN










