Bersatu hairan tiada tindakan drastik terhadap pihak merasuah

Bersatu hairan tiada tindakan drastik terhadap pihak merasuah pengundi

Laut China Selatan
WAN AHMAD FAYHSAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berasa hairan kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa selepas Kerajaan Perpaduan didakwa cuba merasuah pengundi dengan memberi barangan dalam tempoh berkempen. 

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan  perkara itu sebagai satu penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah. 

“Saya sumpah tidak mengerti mengapa bila mereka iaitu Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) buat program dan beri barang terang-terangan dalam tempoh berkempen, langsung tiada tindakan drastik daripada pihak penguasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung cubaan merasuah pengundi. 

“Apabila puak mereka main isu 3R (agama, raja dan kaum) berkali-kali, Menteri Agama sekadar menasihati walhal laporan polis daripada Pemuda Perikatan Nasional sudah berkajang-kajang! 

“Apabila saya kata ini satu kemunafikan berpolitik, ramai yang marah, tapi, kalau bukan apa benda alah ini? kebajikan?,” soalnya dalam satu hantaran media sosial. 

Ahli Parlimen Machang itu mendakwa demikian selepas memuat naik satu rakaman video menunjukkan orang ramai mendapat beras dipercayai dari sebuah program di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai. 

Esok merupakan hari penentuan PRK Pelangai  susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN