KUALA LUMPUR : Komposer dan penyanyi terkemuka Indonesia, Melly Goeslaw, 49, berjaya mengumpulkan wang sumbangan sebanyak RM21,021 hasil jualan barangan preloved miliknya bagi membantu rakyat Palestin.
Menurut Melly menerusi satu hantaran Instagram, dia juga meminta supaya setiap umat Islam meneruskan usaha untuk berdoa dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak relevan di saat rakyat Palestin sedang sengsara kini.
“Alhamdulillah, hasil daripada preloved malam ini sudah terkumpul Rp70,000,000 (RM21,021).
“Terima kasih semua yang sudah memberi sumbangan, setiap dari kita bisa dan mampu membantu saudara-saudara kita di Palestin.
“Kalau punya rezeki lebih, boleh salurkan rezekinya untuk mereka, jika tidak punya, masih ada doa yang bisa dilakukan oleh siapapun dan oleh agama apa pun.
“Tapi, kalau doa pun berat kau panjatkan untuk Palestin, setidaknya kamu bisa diam. Bersyukurlah keadaan kita jauh lebih baik dan lebih aman dari mereka,” katanya.
Melly berkata, bagi mereka yang mempunyai koleksi preloved tetapi tiada masa untuk menjualnya, dia juga bersedia membantu dan menerusi siaran langsungnya di media sosial.
Penyanyi lagu Ada Apa Dengan Cinta ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong usahanya menerusi jualan barangan preloved itu bagi mengumpulkan sumbangan buat Palestin.
Tindakan murni dan ikhlas Melly ini mendapat sokongan baik dan positif daripada pengikutnya termasuk rakan-rakan selebriti yang kagum dengan semangat juangnya melakukan jualan barangan preloved itu.