Berhabis RM300,000 ubah suai rumah jadi kafeteria

Berhabis RM300,000 ubah suai rumah jadi kafeteria

AHMAD Tarmedi (kanan) melayan pelanggannya di Pondok Rindu Kampung Lounge Cafe Bar di Felda Simpang Waha, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang anak peneroka Felda Simpang Waha dekat sini sanggup berhabis modal RM300,000 untuk mengubah kediaman orang tuanya menjadi sebuah kafeteria.

Ahmad Tarmedi Musa, 51, yang sebelum ini bekerja dalam bidang minyak dan gas memang mempunyai impian untuk membuat sesuatu dalam hidupnya selepas bersara pada usia 45 tahun.

Pada awalnya kafe yang diberi nama Pondok Rindu Kampung Lounge Cafe Bar itu dibuka sekadar untuk menjadi tempat dia dan rakan-rakannya melepak meluangkan masa sambil bersantai.

“Rumah orang tua di sini memang tidak ada yang duduk (tinggal). Selepas bersara saya dan isteri, Zaleha Sabtu menetap berdua di sini kerana anak-anak sudah besar dan mempunyai rumah sendiri di bandar.

“Faktor kedudukan kawasan kampung yang begitu jauh dari bandar mencetuskan idea untuk jadikan rumah ini sebagai kafeteria yang pada awalnya sekadar projek settle down selepas bersara.

“Saya berhabis RM300,000 untuk bangunan, landskap, dekorasi menjadikan rumah ini sebagai kafeteria termasuk peralatan memproses kopi yang saya beli dan bancuh sebagai menu buat pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Malah, ada rakannya yang menganggap perniagaan kafe teria itu hanya mampu bertahan setengah tahun, namun kini telah memasuki tahun ketujuh operasinya. “Ada yang kata saya buat benda pelik di kawasan pelik kerana buka kafeteria di kawasan Felda.

“Bagi saya tiada yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh dalam sesuatu, bahkan ini salah satu pendedahan kepada golongan muda di Felda untuk mengenali kopi espresso.

“Platform media sosial kita gunakan untuk tarik pelanggan dan alhamdulillah menjadi lokasi bukan sahaja bagi anak muda dan pelanggan biasa, malah juga menjadi tumpuan pegawai Felda,” katanya. Kafe tersebut turut menyajikan menu kopi ciptaannya, iaitu Carribean pirate coffee yang menampilkan rasa nusantara,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN