BALING: Penderitaan seorang kanak-kanak, Muhammad Qaish Ahmad, pesakit leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) yang pada bulan lalu diramalkan jangka hayatnya berbaki dua bulan, berakhir apabila dia meninggal dunia, semalam.
Kisah Muhammad Qaish yang berusia 11 tahun pernah disiarkan Utusan Malaysia pada 6 September lalu selepas ibu bapanya, Ahmad Mohamad Zain, 42, dan Hasmah Ahmad, 42, masih mengharapkan keajaiban agar Allah mengurniakan kesembuhan kepada anak kesayangan mereka.
Pemergian kanak-kanak itu dikongsikan bapanya yang memaklumkan Muhammad Qaish menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.05 pagi, semalam di Hospital Daerah Baling, di sini.
Menurut Hasmah, mereka sekeluarga menerima takdir yang sudah tertulis itu dan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus-putus membantu sepanjang hayat kanak-kanak itu termasuk dalam aspek kewangan.
“Kami reda dengan ketentuan Ilahi, Qaish tidak sakit lagi, selama 11 tahun kami bersamanya dan kami puas hati dapat menjaganya dengan penuh belaian kasih sayang.
“Setiap impian semasa hayatnya masih ada dahulu telah dipenuhi dengan pertolongan kawan-kawan dan keluarga serta pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhammad Qaish pada mulanya hanya demam selama seminggu dan dia disahkan menghidap penyakit itu pada 2019 setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
Selepas menjalani rawatan selama setahun di Hospital Pulau Pinang, keadaannya semakin baik, namun sel kanser kembali menyerang pada 2021 sehingga rawatan kemoterapi terhadap Muhammad Qaish terpaksa dihentikan Julai tahun lalu kerana badannya sudah tidak dapat menerima proses itu serta turut berlaku komplikasi.
Sementara itu, Ahmad berkata, sebelum ini tahap kesihatan anaknya semakin merosot dan memerlukan alat bantuan pernafasan 24 jam sejak dimasukkan ke hospital.
“Lebih sebulan Qaish berada di hospital untuk rawatan dan paras oksigen serta kesihatannya semakin menurun, pagi semalam keadaannya semakin tenat sehinggalah Qaish menghembuskan nafas terakhirnya pada 7.05 pagi,” katanya.
Ahmad sebelum ini terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang untuk menguruskan anaknya itu, manakala Hasmah yang bekerja sebagai kerani menguruskan tiga anak mereka yang lain.
Dalam pada itu, jenazah Muhammad Qaish selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 7, Kuala Ketil, selepas waktu Zohor semalam.-UTUSAN