MELAKA: Rakyat berharap kerajaan akan memberi tumpuan kepada mekanisme kawalan harga barang keperluan asas yang lebih meyakinkan serta membina lebih banyak rumah mampu milik dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentang Jumaat ini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pekerja swasta, Nur Aznita Husaini, 30, berkata, rakyat ketika ini dibelenggu oleh kenaikan harga barang asas seperti beras, telur, ayam dan ikan.

Katanya, setakat ini masih belum ada usaha yang meyakinkan ditunjukkan oleh kerajaan walaupun pendekatan bersifat jangka pendek seperti Jualan Rahmah dan Menu Rahmah telah dilaksanakan.
“Usaha kerajaan ini hanya untuk sementara sedangkan harga tetap meningkat dan barang pula sukar didapati di pasaran. Rakyat dengan gaji minimum RM1,500 sebulan sukar hendak bertahan jika terus ditekan dengan kenaikan harga barangan.
“Justeru, saya berharap kerajaan akan mengumumkan langkah drastik yang dapat meyakinkan rakyat bahawa kos sara hidup di negara ini adalah terkawal. Beri subsidi bersasar kepada yang layak jika itu mekanisme terbaik buat masa ini.
“Selain itu, perbanyakkan lagi projek perumahan rakyat mampu milik khususnya untuk pembeli rumah pertama. Beri insentif atau longgarkan syarat pinjaman perumahan supaya lebih ramai yang layak untuk membeli rumah,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, pelajar, Natasya Mohd. Aripin, 22, berharap baucar khas bagi pembelian bahan ilmiah dapat diperkenalkan semula kepada pelajar institusi pengajian tinggi seperti yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

Jelasnya, mahasiswa kini terbeban dengan peningkatan kos sara hidup seperti makanan, sewa penginapan dan yuran pengajian.
“Dulu ada diperkenalkan baucar buku bagi tujuan pembelian buku rujukan atau peralatan berkaitan pembelajaran. Setidaknya ia dapat menjimatkan wang pinjaman pendidikan yang boleh digunakan untuk kelangsungan hidup.
“Saya berharap pembentangan Belanjawan 2024 nanti lebih mesra pelajar dan mengambil kira pandangan serta suara orang muda,” katanya. – UTUSAN