PETALING JAYA: Pusat penjaja dan prasarana pasar awam yang uzur di 150 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibaik pulih dan dinaik taraf dengan peruntukan RM110 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyasarkan 10,000 gerai-gerai dan warung-warung kecil untuk diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan kerajaan turut bersetuju mengecualikan bayaran sewa kiosk bagi enam bulan pertama untuk rakyat berniaga.
“Sebanyak 4,000 unit ruang niaga baharu yang seragam, selesa dan selamat akan dibina di seluruh kawasan PBT dengan peruntukan RM50 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Katanya, agensi MARA, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan turut menaik taraf kemudahan perniagaan masing-masing. – UTUSAN










