Belanjawan 2024: Mosti mohon bajet lebih tinggi tingkat R&D

Belanjawan 2024: Mosti mohon bajet lebih tinggi tingkat R&D

CHANG LIH KANG bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Karnival Minggu Sains 2023 Peringkat Negeri dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berharap akan menerima peruntukan 10 peratus lebih tinggi dalam Belanjawan 2024 berbanding RM1.1 bilion yang diterima kementerian itu tahun lalu.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, peruntukan lebih tinggi itu akan digunakan untuk meningkatkan peratusan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kata beliau, ketika ini tahap R&D negara masih belum memuaskan dan perlu ditingkatkan.

“Saya berharap Mosti kalau boleh dapat lebih banyak bajet. Peruntukan ini bukan untuk kementerian tetapi untuk melaksanakan lebih banyak program sains, teknologi dan inovasi (STI) supaya dapat menarik minat anak-anak dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Selain itu, kita harap dapat menambah dana R&D kerana peratusannya berbanding KDNK masih belum memuaskan. Kita lihat kerajaan negara lain agak tinggi iaitu antara tiga hingga empat peratus sedangkan Malaysia kira-kira satu peratus,” katanya dalam sidang akhbar sempena Karnival Minggu Sains 2023 Peringkat Negeri dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Lih Kang, peruntukan lebih besar membolehkan negara menikmati pelbagai kejayaan hasil daripada R&D.

Jelasnya, negara akan merasai kesan kekurangan R&D pada masa hadapan jika perkara itu tidak diberikan perhatian sewajarnya.

“R&D ini mengambil masa yang agak lama untuk melihat pencapaiannya. Jadi sekiranya kita tidak melabur secukupnya dalam R&D, kita akan terkesan pada masa depan.

“Kita harap setiap tahun akan ada penambahan dalam R&D dan pencapaian yang baik. Contohnya Korea Selatan, R&D lebih empat peratus dan sekarang kita boleh lihat mereka menikmati pencapaian dari (hasil) R&D yang lebih tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN