PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk memastikan peruntukan yang disediakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan semua jawatankuasa yang dipengerusikannya dimanfaatkan dengan baik demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
“Alhamdulillah, selesai mengikuti sesi Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 yang berjaya menterjemahkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia terus diberi keutamaan manakala agenda mengangkat semula darjat ekonomi negara diberi penekanan utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, kerajaan memperuntukkan RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Belanjawan 2024.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM303.8 bilion atau 77.1 peratus disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM90 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE). – UTUSAN