KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan beberapa individu lagi bagi membantu siasatan kes enam lelaki termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditahan berhubung dakwaan menculik penganggur dari kedai makan di Desa Petaling, di sini, pada 26 September lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, proses siasatan sedang berjalan dan beberapa rakaman keterangan sudah dilakukan.
“Kita masih dalam proses siasatan termasuk mengenal pasti pembabitan anggota polis dalam kes itu.
“Sebaik kertas siasatan dilengkapkan, kita akan rujuk kes ini kepada Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat pembabitan suspek lain dan motif penculikan itu, Zam Halim berkata, ia masih dalam siasatan.
“Kemungkinan ada tangkapan lain selepas ini, ia bergantung pada rakaman keterangan itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 365/ 342/ 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan enam lelaki termasuk anggota PDRM ditahan berhubung dakwaan menculik penganggur dari kedai makan di Desa Petaling di sini.
Mereka berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di bawah IPD Cheras.
Zam Halim dilaporkan berkata, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun pada 5.48 petang hari kejadian dan bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras membuat tangkapan ke atas enam lelaki tempatan.-UTUSAN