Asnaf bersyukur terima bantuan peralatan, modal niaga

Asnaf bersyukur terima bantuan peralatan, modal niaga

ZAINOR Fazrin Zainen menerima bantuan peralatan perniagaan daripada MAIPk pada majlis di Ipoh. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Peniaga ayam geprek yang berhijrah dari Kuala Lumpur ke negeri ini selepas kejatuhan perniagaannya ketika pandemik Covid-19 bersyukur menerima bantuan peralatan memasak serta modal perniagaan daripada Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk).

Peniaga itu, Zainor Fazrin Zainen, 36, yang tinggal di Taman Mahkota, Kampar berkata, penyerahan peralatan memasak itu sangat membantunya untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“Saya rasa gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menerima bantuan ini. Bantuan ini sangat membantu untuk mengembangkan lagi perniagaan saya.

“Dalam program ini, saya dapat modal sebanyak RM3,000 iaitu RM500 setiap bulan dalam tempoh enam bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf Proper A di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPk, Shahrul Azam Shaari menyerahkan sumbangan peralatan dan modal perniagaan kepada penerima.

Turut hadir Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Rozlan Mohamad Razali.

Menurutnya, peralatan yang diberi adalah mengikut keperluan peniaga dengan peruntukan sebanyak RM5,000.

“Kita boleh pilih peralatan yang kita mahukan mengikut jumlah peruntukan yang diberi.

“Sebagai contoh, selain meniaga ayam geprek, saya juga ada meniaga sambal serta kudapan-kudapan, jadi saya dapat peralatan berdasarkan keperluan perniagaan saya,” katanya.

Sementara itu, pemilik Lynndarling Licious Delight, Azlinda Mohd Mohtar, 43, berkata, ini merupakan kali pertama dia menyertai program tersebut dan bersyukur dengan bantuan yang diberikan.

“Terima kasih kepada MAIPk kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai program ini yang sekaligus dapat membantu memulihkan ekonomi keluarga saya,” katanya.

Azlinda yang berniaga makanan pencuci mulut seperti kek, kuih sejuk beku dan sebagainya berkata, dengan bantuan itu, dia lebih bersemangat untuk menghasilkan produk yang betul-betul berkualiti.

“Program ini bukan sahaja membantu usahawan dari segi ekonomi, malah dengan ilmu yang diberi semasa kursus dapat meningkatkan lagi kemahiran dalam proses pembuatan makanan sama ada kulinari atau pastri.

“Kursus tersebut dijalankan selama dua bulan dan proses pemantauan selama empat bulan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN