Apa perkembangan sasaran noktahkan miskin tegar? - Utusan Malaysia

Apa perkembangan sasaran noktahkan miskin tegar?

AHMAD Maslan ketika ceramah pada Program Sembang Perpaduan di Kampung Hayat, Bentong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Jumlah terkini keluarga miskin tegar akan diumumkan bila tiba masanya meskipun kerajaan menyasarkan untuk menoktahkan 130,000 keluarga miskin tegar sebelum hujung tahun ini yang hanya tinggal dua bulan lagi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya mempunyai formula dan mekanisme untuk menghapuskan miskin tegar, namun belum diumumkan setelah kerajaan mengumumkan hasrat itu menerusi Belanjawan 2023 pada awal tahun ini.

“Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa, daripada 130,000 orang, berapa sudah dikeluarkan? Ada kaedahnya.

“Kita tunggu dahulu apa mekanisme tegar yang akan diumumkan kerajaan, jika sebelum ini kita berjaya hapus semua miskin tegar keluarga Felda. Kita ada formula cuma tidak akan umum lagi,” katanya ketika ditemui pada Program Sembang Perpaduan di Kampung Hayat di sini semalam.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2023 menyasarkan 130,000 ketua isi rumah miskin tegar akan dapat ditangani dan dinoktahkan pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, setakat 15 Mac lalu, sebanyak 123,243 ketua isi rumah miskin tegar sudah dapat dikenal pasti oleh kerajaan untuk dibantu, namun kerajaan meletakkan jumlah sebanyak 130,000 ketua isi rumah kerana kemungkinan jumlahnya akan bertambah.

Antara usaha kerajaan noktahkan kemiskinan melalui program diselaraskan menerusi dua pendekatan iaitu meningkatkan pendapatan rakyat miskin dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan mengurangkan beban kos sara hidup melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Pada masa sama Ahmad berkata, kerajaan yakin untuk menghapuskan keluarga miskin tegar pada tahun ini setelah melihat kepada pelbagai usaha dilakukan bagi membawa keluar mereka daripada paras kemiskinan.

“Jika sebelum ini kita berjaya menghapuskan 112,000 miskin tegar dalam kalangan peneroka Felda, perkara sama akan berlaku kepada 130,000 keluarga miskin tegar di seluruh negara. Kita tunggu dulu apa mekanisme yang akan diumumkan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya