KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merancang bertemu dengan lebih banyak ketua-ketua negara bagi membincangkan isu Palestin.
Perdana Menteri berkata, usaha itu dimulakan dengan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung pada 18 Oktober ini di Jeddah, Arab Saudi.
“Malam ini Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan berlepas ke Jeddah atas undangan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan OIC untuk mengadakan sidang. Saya akan berlepas ke Riyadh pada hari Khamis untuk persidangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN.
“Putera Arab Saudi menelefon saya beberapa hari lalu minta saya sambung satu hari lagi iaitu 21 Oktober, supaya diadakan perbincangan dan acara rasmi di Arab Saudi. Saya akan berbincang dengan beberapa teman lain seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Mesir dan Turkiye sama ada perlu untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara lain,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya lagi, menteri luar juga telah menghubungi beberapa negara Arab serta Turkiye minggu lalu.
“Saya juga menghubungi ketua-ketua negara supaya langkah harus lebih tegas dan keras untuk menyekat kepungan menyeluruh ke atas Gaza dan arahan keras Israel yang memaksa rakyat Gaza meninggalkan tanah air mereka.
“Pendirian kita jelas, politik di Palestin ini dispossession, tanah harta benda mereka telah dirampas dan kita mesti kembalikan hak mereka orang Palestin ke atas tanah air mereka,” katanya. – UTUSAN