PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja dua hari ke Singapura sempena Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10 bermula esok.
Ini kali pertama sesi pemukiman antara kedua-dua negara diadakan selepas pandemik Covid-19, selepas kali terakhir pada 2019 yang diwakili oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ia juga kali ketiga Anwar mengadakan lawatan kerja ke Singapura tahun ini, selepas mengadakan lawatan rasmi pertama pada Januari dan September lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asia 2023 anjuran Institut Milken.
Menurut Wisma Putra, dalam sesi pemukiman kali ini, Anwar akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi membincangkan langkah-langkah ke arah meningkatkan hubungan dan kerjasama dua hala.
“Ini termasuk inisiatif-inisiatif baharu berkait kesalinghubungan dan usaha melancarkan pergerakan rentas sempadan serta kerjasama dalam tenaga hijau.
“Perdana Menteri juga akan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang keusahawanan dan surat sampingan untuk menambah baik peruntukan-peruntukan dalam Perjanjian bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura. Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan selepas sesi permukiman tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Perdana Menteri turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Tharman Shanmugaratnam, Presiden Singapura di Istana Singapura.
Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara kedua-dua negara yang dihoskan secara bergilir-gilir sejak 2007.
Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Singapura dan Singapura juga merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dengan nilai dagangan berjumlah RM368.19 bilion pada 2022, peningkatan sebanyak 37.6 peratus berbanding nilai pada 2021. – UTUSAN