BACHOK: Selepas anak sulung terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian ke universiti akibat masalah kemiskinan, seorang bapa Orang Asli nekad mengetepikan masalah itu dengan mendaftarkan anak keduanya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini semalam.
Eron Binchar, 41, dari Kampung Sungai Bot, Telemong, Pahang berkata, walaupun keputusan itu agak ‘perit’ namun dia tidak mempunyai pilihan bagi memastikan anaknya, Fida Adira, 20, berada di menara gading.
Menurutnya, sejak dari kecil lagi, Fida Adira begitu tekun dalam pelajaran dan menjadikan UMK sebagai pilihan pertama untuk menyambung pengajian selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Sebelum ini anak sulung saya (kakak kepada Fida Adira) dapat menyambung pengajian ke universiti namun terpaksa ditolak kerana kesempitan hidup dan tidak mampu membiayai yuran pengajian.
“Pendapatan saya bekerja kampung tidak menentu, tambahan pula tinggal di kawasan pedalaman menyulitkan impian itu,” katanya ketika ditemui di UMK Kampus Bachok di sini semalam.
Katanya, dia dan isteri, Fatimah Ali, 49, bertolak dari Bentong ke UMK pada Sabtu dan menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer (km) menggunakan kereta yang disewa dari saudara.
Katanya, dia turut berterima kasih kepada UMK yang membuka peluang kepada anaknya menyambung pengajian dalam jurusan Pengajian Warisan. – UTUSAN