ALOR SETAR: Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai di negeri ini diminta berwaspada berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal pagi esok hingga lusa yang boleh mencapai ketinggian hingga tiga meter.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, terdapat empat daerah yang berisiko iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Yan dan Kubang Pasu.
“Tumpuan yang lebih diberikan kepada empat kawasan paling berisiko iaitu Kuala Kedah, Kota Kuala Muda, Kuala Yan dan Kuala Jerlun. Pihak kami berada dalam keadaan siap siaga termasuk para pegawai serta anggota APM ditempatkan di lokasi-lokasi terlibat.
“Penduduk diminta berhati-hati dan sentiasa peka dengan peningkatan air di sekeliling kediaman masing-masing. Mereka juga diminta segera berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS) jika diarahkan berbuat demikian,” katanya selepas meninjau keadaan semasa di sekitar Jeti Kuala Kedah di sini, hari ini
Zairil Anuar berkata, berdasarkan ramalan yang dibuat, fenomena air pasang besar dijangka berlaku pada pukul 1.16 pagi esok serta 1.45 pagi Selasa.
“Kami telah melakukan persediaan rapi untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk jika fenomena itu bertembung dengan hujan lebat. Keadaan itu mungkin akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan tertentu.
“Sepanjang tempoh fenomena ini orang ramai juga dinasihatkan agar tidak berada di kawasan pantai demi keselamatan semua pihak,” katanya. –UTUSAN










