IPOH: Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah yang diamalkan secara konsisten khususnya di negeri Perak berjaya mengekalkan kestabilan politik, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Dalam konteks masyarakat pelbagai kaum pula, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah juga terbukti mampu meraikan kepelbagaian bangsa dan agama.
Katanya, ini kerana ia adalah pembawaan sederhana yang mampu mengimbangi fahaman fanatik dan liberal.
Tambah beliau, hal itu juga seiring titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam, yang mahu umat Islam di negara ini terus mempertingkatkan pemahaman mengenai Ahli Sunah Wal Jamaah bagi memastikan keharmonian ummah terjamin.
“Saya mengajak diri saya dan kita semua, menyahut titah hasrat baginda supaya umat Islam terus dilengkapkan dengan fahaman yang jelas berkenaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Supaya mereka lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahu pun negara,” katanya semasa berucap pada majlis penutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun 2023 di sini hari ini.
Muzakarah itu berlangsung selama tiga hari dengan melibatkan 12 kertas pembentangan dari tokoh-tokoh ilmuan tempatan serta luar negara termasuk Singapura, Indonesia, Thailand dan Jordan.
Saarani berharap penganjuran muzakarah itu yang telah bermula dari tahun 1995 dapat menjadi medan pencerahan kepada masyarakat di Perak dan Malaysia bagi menghayati aliran Ahli Sunah Wal Jamaah.
“Bermula sekadar penganjuran muzakarah di peringkat negeri, saya amat bangga kerana penganjuran muzakarah ini sudah pun dimartabatkan ke peringkat antarabangsa bermula pada tahun 2018 dan diteruskan pada tahun 2020,” katanya.
Dalam majlis penutupan itu juga, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh turut membacakan tujuh deklarasi muzakarah demi mengangkat Ahli Sunah Wal Jamaah. – UTUSAN