Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dilindungi - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu dilindungi – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan 'Memperkasa Ahli Sunah Wal Jamaah Sebagai Firqah Najiah di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, usaha juga perlu dilakukan untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

“Hari ini ancaman ke atas pegangan ahli Sunah Wal Jamaah dilakukan secara terang oleh musuh-musuh Islam dan secara terselindung melalui gerakan-gerakan batiniah tertentu.

“Juga tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

“Oleh itu ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan ahli Sunnah Wal Jemaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah menjadi pegangan utama umat Islam di seluruh dunia.

Titah baginda, di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996, membuat ketetapan bahawa umat Islam negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam berpaksikan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Baginda bertitah, ini termasuk daripada segi akidah, syariah dan akhlak, mentafsirkan hukum-hukum Islam berdasarkan sumber perundangan utama iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas dan tidak dengan mudah mengkufurkan sesama Muslim.

“Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya.

“Pegangan ini merupakan warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu,” titah baginda.

Baginda bertitah, sepanjang sejarah dalam manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah, pendekatannya bersifat pertengahan dan seimbang dan tidak bersifat keterlaluan ataupun ekstrem, manhaj ini menerima pendekatan nas dan akal dengan meletakkan nas mengatasi akal.

Titah baginda, Ahli Sunnah Wal Jamaah berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar, tetapi memahami bahawa Allah Subhanahu Wata’ala yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian.

“Dalam amalan Ahli Sunnah Wal Jemaah, akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran, malahan takwilan yang tidak jauh dengan tuntutan nas, bukan membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya