Ahli Parlimen Labuan umum sokong Anwar, Hajiji - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen Labuan umum sokong Anwar, Hajiji

SUHAILI ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman hari ini mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan itu turut menzahirkan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan elektrik di sana.

Jelas beliau, ini kerana tindakan yang diambil selama 15 tahun lamanya untuk mengatasi semua permasalahan yang dihadapi rakyat Labuan boleh dikatakan sebagai melepaskan batuk di tangga atau piecemeal basis sahaja.

“Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan saya kepada kepimpinan Perdana Menteri dan juga kepimpinan Ketua Menteri Sabah, saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parlimen Bersatu.

“Meskipun berdepan dengan risiko sebarang tindakan disiplin daripada parti, namun saya bersedia menerimanya demi memastikan kebajikan rakyat Labuan dan pengundi-pengundi di kawasan saya terbela dari terus menjadi mangsa keadaan dan ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan kerana perbalahan naratif politik seperti mana yang berlaku sekarang,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Suhaili turut menyokong dasar dan inisiatif kerajaan dalam hal-hal yang mengutamakan usaha-usaha memantapkan pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang.

“Pengisytiharan sokongan saya ini kepada kepimpinan PM ke-10 (Anwar) adalah tanpa sebarang paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak dan saya melakukan dengan seikhlas hati demi kepentingan rakyat Labuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya