SEMPENA sambutan Ulang Tahun ke-52 PERKESO, sudah menjadi harapan saya agar kita terus muhasabah diri dalam mengangkat martabat legasi pertubuhan ini serta mengembangkan dan menyesuaikan diri untuk memberikan impak yang positif.
Sepanjang lima dekad lalu, PERKESO telah berkembang sebagai sebuah institusi berdedikasi dan komited dalam memperkasa perkhidmatan perlindungan sosial demi kesejahteraan rakyat.
Perlindungan sosial ini penting bagi kestabilan pendapatan sepanjang hayat, malah turut direncana untuk membasmi kemiskinan dan ketidaksamaan.
PERKESO mempunyai dua misi iaitu melindungi individu daripada kehilangan upaya, bencana pekerjaan, pengangguran, penyakit dan kematian serta meningkatkan kecekapan dalam pasaran buruh.
Ia bukan sahaja satu ‘jentera’ ekonomi untuk merintis pertumbuhan, sebaliknya alat memupuk kesepaduan dan keadilan sosial.
Allahyarham Tun Abdul Razak Tun Hussein, mantan Perdana Menteri Malaysia Kedua mempunyai pandangan yang berwawasan tentang PERKESO pada tahun 1972. Beliau melihat
pertubuhan ini bukan sekadar sebuah badan pentadbiran, tetapi sebagai pemangkin yang mampu memacu pembangunan ekonomi negara serta membentuk dasar-dasar sosioekonomi.
Beliau juga menekankan peranan PERKESO dalam memperjuang keadilan sosial melalui pengagihan pendapatan saksama dan peluang pekerjaan yang adil. Matlamat yang berwawasan ini kekal sebagai nadi misi PERKESO dalam usaha kita untuk mengukuhkan sistem perlindungan sosial serta mempromosi pekerjaan yang sesuai untuk semua rakyat Malaysia.
Laporan terbaharu daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan hanya 27.2 peratus daripada penduduk di Malaysia dilindungi secara berkesan sekurang-kurangnya daripada satu perlindungan sosial – jauh di bawah purata global sebanyak 46.9 peratus yang mencerminkan lebih banyak langkah perlu dilaksanakan.
Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, PERKESO telah mencapai kemajuan ketara dalam memperluaskan perlindungan sosial. Bermula dengan hanya dua skim keselamatan sosial asas untuk pekerja formal – Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat, PERKESO berkembang seiring peredaran pasaran buruh Malaysia dan kini meliputi perlindungan kepada semua golongan pekerja.
Untuk menangani masalah kekurangan perlindungan sosial terhadap pekerja informal dan pekerja platform, PERKESO kini sedang menggarap usaha memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 20 sektor tidak formal.
Selain itu, PERKESO juga memandang serius keperluan keluarga pekerja tidak bergaji termasuk pekerja domestik. Sehubungan itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah diperkenalkan pada Disember 2022 untuk mengiktiraf golongan ini.
Malah, komitmen kami terhadap dasar keterangkuman diperluas supaya meliputi pekerja asing yang sah termasuk ekspatriat dan kepada yang menyumbang kepada ekonomi – tanpa meminggirkan sesiapa.
Di samping itu, PERKESO turut komited membangunkan sistem perlindungan sosial yang bebas daripada unsur diskriminasi jantina. PERKESO kini sedang mengenal pasti jurang dalam faedah perlindungan sosial, terutama bagi penjagaan bersalin dan penjagaan jangka panjang yang memfokus kepada skim insurans sosial yang menangani ketidaksaksamaan jantina dan kemiskinan di usia tua.
Di samping pampasan kewangan, PERKESO juga terus melabur dalam program pencegahan dan rehabilitasi. Malah, kami sedang bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan dua pusat rehabilitasi berteknologi tinggi iaitu di Ipoh Perak dan Setiu, Terengganu.
Untuk mengekalkan produktiviti pekerja dalam ekonomi, penglibatan PERKESO juga merangkumi hubungan antara keselamatan sosial dan dasar pasaran buruh aktif. Walaupun kadar pengangguran menyusut sejak fasa pemulihan COVID-19, tenaga kerja negara terus berdepan cabaran pasaran buruh berstruktur seperti penyertaan wanita yang rendah dalam tenaga kerja, kebergantungan tinggi pekerja asing berkemahiran rendah dan jurang kemahiran antara penawaran dan permintaan.
Oleh itu, sebagai kesinambungan kepada Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), PERKESO mengetuai Perkhidmatan Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs untuk menambah baik pemadanan pekerjaan, menerbitkan maklumat pasaran buruh awam serta melaksanakan program pasaran buruh yang aktif seperti Pameran Kerjaya MYFutureJobs dan Insentif Kerjaya Madani untuk menggalakkan penempatan pekerjaan.
Ketika mengimbas kembali pencapaian pertubuhan ini sepanjang lima dekad lalu, saya ingin menzahirkan rasa penghargaan kepada mereka yang telah banyak menyumbang terhadap pencapaian dan perkembangan PERKESO.
—
Penulis ialah Dr. Mohammed Azman Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO










