PUTRAJAYA: Lima buah universiti tempatan dengan kerjasama YTL Cement membentuk sebuah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri iaitu usaha pertama kali diperkenalkan di negara ini.
Pembentukan konsortium itu membabitkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung hari ini yang turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata, kerjasama IPTA dan industri itu akan menumpukan kepada aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan menyediakan peluang biasiswa di peringkat pasca siswazah, khususnya kepada pelajar cemerlang di dalam negara.
Beliau berkata, kerjasama itu bertujuan membina jaringan kerjasama universiti dan industri dengan cara yang lebih berkesan bagi memastikan penyelidikan pasca-siswazah di universiti relevan dengan keperluan negara.
“Di bawah usaha sama ini, YTL Cement akan menyediakan geran padanan bernilai RM1.6 juta untuk menaja pelajar pasca siswazah bagi Program Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang pengajian.
“Sasaran utama usaha sama ini adalah untuk membina kapasiti dan kepakaran yang boleh membantu negara memulihara warisan landskap kars batu kapur serta penggunaan sumber secara lestari,” katanya pada majlis pelancaran MyBrain 2.0 dan penyampaian surat tawaran penajaan KPT 2023 di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, KPT menerima peruntukan yang besar daripada pihak kerajaan bagi menjayakan inisiatif pemberian biasiswa dan bantuan kewangan secara bersasar ini.
Menurutnya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi menyediakan peruntukan masing-masing sebanyak RM150 juta dan RM6 juta pada tahun ini bagi tujuan penajaan pendidikan kepada 27,817 pelajar (17,015 pelajar baharu dan 10,802 pelajar sedia ada).
“Manakala dalam pembentangan bajet tempoh hari, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM206 juta (iaitu RM200 juta untuk belanja mengurus dan RM6 juta peruntukan pembangunan) bagi keseluruhan program penajaan tahun 2024,” katanya. – UTUSAN








