4 individu didakwa jalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah - Utusan Malaysia

4 individu didakwa jalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah

EMPAT pengarah syarikat jualan langsung termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, George Town, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah tahun lalu. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seramai empat pengarah syarikat jualan langsung termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen sah tahun lalu.

Kempat-empat tertuduh iaitu Tan Kwong Yeow, 35; Ooi Chuen Chi, 35; Lim Shing Yee, 31, dan Seow Ming Cjoy, 32, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atas mereka di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Kwong Yeow selaku pengarah syarikat Quinton Group Sdn. Bhd. didakwa telah didapati menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik iaitu Career Opportunity Plan (COP) tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung di bawah Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 5 petang, 19 Oktober tahun lalu, bertempat Wisma Quinton, No.11, Jalan Ahmad Nor, Pusat Perdagangan Nova, Jelutong di sini.

Pendakwaan terhadap Kwong Yeow dijalankan menurut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(b) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Tiga lagi tertuduh iaitu Chuen Chi; Shing Yee,dan Seow Ming Cjoy turut dikenakan pertuduhan sama dan pertuduhan dibacakan berasingan terhadap mereka.

Selain itu, keempat-empat mereka selaku pengarah syarikat telah dituduh secara bersama menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik iaitu Career Opportunity Plan (COP) tanpa suatu lesen yang sah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Syazwani Zawawi menawarkan ikat jamin masing-masing RM80,000 kepada kesemua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, Mohd. Asri Abd. Hamid mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan mereka mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap seorang tertuduh dijamin RM25,000 selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kesemua mereka juga perlu melaporkan diri di balai polos berhampiran setiap bulan dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya