38 projek pembangunan di Sungai Buloh

37 projek pembangunan di Sungai Buloh

R. Ramanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 37 projek pembangunan rakyat dilaksanakan di Parlimen Sungai Buloh sepanjang tahun ini menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat.

Ahli Parlimennya, Datuk R. Ramanan berkata, projek tersebut terdiri daripada enam kerja-kerja menaik taraf dan pembangunan kemudahan awam, lapan membabitkan rumah ibadah umat Islam dan empat projek rumah ibadah bukan Islam.

Selain itu, katanya, ia turut merangkumi 12 projek menaik taraf dan pembangunan sekolah kebangsaan, lima sekolah menengah dan dua sekolah vernakular.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memperuntukkan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi semua Ahli Parlimen kerajaan. RM2 juta yang diperuntukkan dapat digunakan bagi membangunkan kawasan Parlimen sendiri. 

“Dengan rasa syukur, Parlimen Sungai Buloh berjaya melaksanakan perbelanjaan sebanyak RM2 juta yang diperuntukkan di bawah pemantauan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU) Negeri Selangor”, katanya ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Pada masa sama, beliau menyarankan isu fundamental dan paparan realiti kemiskinan di Malaysia memerlukan komuniti semua pemegang taruh untuk merapatkan jurang perbezaan kemiskinan yang masih wujud.

“Kerjasama setiap pemegang taruh sehinggalah ahli Parlimen kerajaan dalam membahaskan persoalan melibatkan kelangsungan rakyat di kawasan masing-masing, mampu mengakhiri kitaran ganas kemiskinan.

“Semua ini tidak boleh berlaku sekelip mata tetapi keazaman dalam setiap lapisan masyarakat untuk bersifat ihsan sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani mampu melakar semula kisah untuk negara kita,” katanya.

Beliau juga menekankan aspek pendidikan sebagai kunci utama memartabatkan sebuah tamadun dengan memupuk minat pelajar dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sedang giat jalankan di kawasan Parlimennya.

“Harapan Sungai Buloh melalui inisiatif sebegini supaya tidak mustahil satu hari nanti kita bakal melahirkan bakat baharu yang mampu membantu negara menyaingi Tesla. Pada masa itu kelak, fokus bajet negara lebih kepada pelaburan modal insan. 

“Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin bersama-sama mereka yang mampu memainkan peranan lebih dalam membantu golongan lemah,” katanya. 

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan juga kepada semua pegawai-pegawai Kementerian Kewangan atas kesungguhan menyusun Belanjawan 2024 bagi memperkasakan rakyat.

Katanya beliau cukup yakin keutamaan kepada “Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat” dalam penambahbaikan dan penstrukturan sistem ekonomi akan memberi manfaat bagi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN