ALOR GAJAH: Seramai 2,115 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Ke-19 pada 4 hingga 6 November ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, jumlah itu menzahirkan komitmen UTeM dalam memacu pemerkasaan TVET aras tinggi negara.
Katanya, pada masa sama seramai 2,478 graduan ijazah sarjana muda telah lengkap mengikuti pensijilan profesional melibatkan 25 kursus tahap tinggi, sekali gus meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka.
“UTeM mencatat sejarah sejak penubuhannya 23 tahun lalu apabila seramai 3,378 graduan akan mengikuti majlis konvokesyen ke-19 dengan 68 peratus daripada jumlah itu adalah graduan TVET. Sesi penganugerahan diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah akan berlangsung sebanyak enam sesi.
“Selain itu, seramai 56 graduan daripada tiga program separuh masa UTeM akan bergraduasi kali pertama. Seramai 72 graduan akan menerima pelbagai kategori hadiah akademik.
“Universiti turut menganugerahkan anugerah profesor emeritus dan ijazah doktor falsafah secara anumerta, masing-masing kepada seorang penerima,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Konvokesyen UTeM Ke-19 di sini, semalam.

Sementara itu, mengenai Pesta Konvo Tuah UTeM-19 (TCF-19), Massila berkata, pihaknya menyasarkan 10,000 pengunjung sepanjang lapan hari penganjuran bermula 28 Oktober ini.
Menurutnya, lebih 30 program dan aktiviti akan dijalankan seperti karnival kerjaya, pertandingan memancing, pertandingan e-sukan peringkat kebangsaan dan Perlawanan Bola Sepak Amal Untuk Mu Palestin.
“TCF-19 turut mendapat kerjasama daripada rakan agensi antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Women Leadership Foundation, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” ujarnya. – UTUSAN