33,269 kertas siasatan babit kerugian RM1.75 billion dibuka sejak

33,269 kertas siasatan babit kerugian RM1.75 billion dibuka sejak Januari

RAMLI Mohamed Yoosuf ketika bercakap pada sidang media mengenai jenayah atas talian yang diadakan di Menara KPJ, Kuala Lumpur pada pagi ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 33,269 kertas siasatan membabitkan nilai kerugian RM1.75 billion dibuka Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejak 1 Januari hingga 22 Oktober lalu.

Jumlah itu melibatkan 27 peratus kertas siasatan yang dibuka daripada 125,169 laporan polis diterima dalam tempoh sama.

Pengarah JSJK, Bukit Ama, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dari aspek laporan polis mencatatkan peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding hanya 116,450 laporan polis pada tahun lalu.

Kata beliau, begitu juga bagi kes-kes yang disiasat turut meningkat sebanyak 20 peratus dari jumlah 27,670 kes yang disiasat bagi tempoh sama tahun lalu.

“Daripada aspek pertuduhan pula, sejumlah 11,903 kes atau 36 peratus berjaya dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ramli berkata, sepanjang minggu kajan iaitu 16 Oktober hingga 22 Oktober lalu, sejumlah 891 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kategori kesalahan jenayah komersial.

Daripada jumlah itu, kes-kes jenayah komersial bersindiket mencatatkan sejumlah 620 kes bersamaan 69.6 peratus.

Kata beliau, jenayah komersial bersindiket adalah merujuk kepada 14 modus operandi penipuan utama seperti penipuan belian dalam talian, pelaburan, pinjaman tak wujud, phone scam dan along.

“Selain itu, love scam, kes penipuan emel (Business Email Compromise), tanah tidak wujud, wang palsu, penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS), penipuan nombor ramalan, penipuan bomoh, kad kredit dan penyamaran bersemuka,” ujarnya.

Ramli berkata, kes penipuan belian secara dalam talian mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi minggu kajian iaitu 257 kes dengan kerugian RM3,864,667.98.

“Kes penipuan pelaburan turut mencatatkan jumlah kes yang tinggi iaitu 156 kes melibatkan kerugian RM21,123,014.00. Lain-lain kes mencatatkan jumlah di bawah 100 kes,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN