WWF Malaysia selamatkan 951 telur tuntung laut - Utusan Malaysia

WWF Malaysia selamatkan 951 telur tuntung laut

PEGAWAI Biologi WWF Malaysia, Muhammad Zaid Nasir menunjukkan salah seekor anak tuntung yang ditetaskan di Kontena Tuntung, Kampung Mangkuk, Setiu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Sebanyak 951 biji telur spesies tuntung laut berjaya diselamatkan melalui program konservasi Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia di Kampung Mangkuk, Setiu sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 740 telur tuntung laut itu berjaya ditetas dan dilepaskan ke Sungai Setiu secara berperingkat selepas anak tuntung laut mencapai usia empat hari.

Menurut beliau, program pemuliharaan spesies terancam itu telah dilaksanakan sejak pembukaan pusat konservasi utama tuntung laut iaitu Kontena Tuntung dekat sini pada September 2022.

Sophia menjelaskan, bagi memastikan usaha meningkatkan bilangan haiwan itu, seramai 10 kakitangan dilantik termasuk sebagai renjer yang bertugas 24 jam di kawasan pantai dan Sungai Setiu.

“Walaupun namanya tuntung laut, habitat haiwan ini adalah di sungai dengan Sungai Setiu paling banyak dan ia akan melalui kawasan muara sebelum ke pesisir pantai untuk bertelur.

“Sejak Kontena Tuntung ini beroperasi, sejumlah 92 sarang dengan 951 biji telur tuntung laut berjaya diselamatkan manakala 740 daripada jumlah itu telah ditetas dan dilepaskan ke Sungai Setiu.

“Sejak 2022 juga, 84 ekor tuntung laut dewasa telah diletakkan alat pengesan bagi memantau pergerakan mereka dan tujuan kajian sebagai langkah pemuliharaan,” katanya.

Sophia berkata demikian kepada pemberita selepas program Setiu Cakna Alam Sekitar sempena Hari Sungai Sedunia 2023 dengan sokongan CIMB Islamic Bank di Kontena Tuntung dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, program bersama WWF Malaysia itu merupakan tahun ketiga dengan jumlah suntikan RM3 juta sejak 2019.

Beliau menjelaskan, pihaknya komited untuk bersama-sama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja di Setiu malah turut terlibat dalam lebih 17 projek di seluruh negara.

“Pendekatan digunakan WWF Malaysia cukup menarik dengan program konservasi dan kesedaran melibatkan penduduk setempat yang turut boleh menjana pendapatan melalui eko pelancongan.

“CIMB Islamic Bank membelanjakan RM5.5 juta sejak 2008 kepada projek kelastarian alam sekitar antaranya di Hutan Ulu Muda, Kedah, Long Semado di Sarawak, Babagon di Sabah dan banyak lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya