KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Zairulkefli Husin, 49, atau Zarul Umbrella mengalu-alukan mana-mana penaja yang sudi menggabungkan band tersebut dengan kumpulan rock yang lain dalam sebuah konsert atau showcase.
Kata Zarul, dia bersama anggota Umbrella yang lain tidak berdepan masalah untuk membuat persembahan bagi mengubat rindu peminat.
“Sebenarnya kami pernah merancang untuk membuat showcase pada tahun 2021. Bagaimanapun Ia terpaksa dibatalkan kerana pandemik.
“Rancangan tersebut hanyut begitu sahaja disebabkan kami sekarang sibuk dengan urusan masing-masing.
“Tapi kami alu-alukan mana-mana penaja yang sudi menggabungkan Umbrella dengan kumpulan Rock lain dalam sebuah konsert atau showcase,” katanya.
Zarul berkata demikian ketika ditemui selepas Finale GV Jamming With The Stars di Hard Rock Cafe, dekat sini baru-baru ini.
Disoal tentang single, kongsi Zarul band yang popular sekitar tahun 90 an itu pernah menerbitkan sebuah single pada tahun 2020 bertajuk Hilang.
“Sambutannya di Youtube tidak menghampakan dengan jumlah tontonan mencecah sehingga 473,000 setakat ini. Tapi ia kurang diputarkan di stesen radio,” jelasnya.